Koronavirus: Pasukan Respons Kecemasan ditubuhkan di Beijing

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar sudah berhubung misi diplomatik Malaysia di China bagi memantau perkembangan semasa wabak koronavirus di negara itu, selain memastikan bantuan konsular yang sesuai kepada rakyat Malaysia di sana.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Luar berkata, ia berikutan tindakan kerajaan China melanjutkan penggantungan perjalanan keluar di tujuh bandar lagi, selepas mengumumkan langkah kuarantin ke atas bandar Wuhan kelmarin.

Tujuh bandar terlibat adalah Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang dan Lichuan.

"Kedutaan Malaysia di Beijing juga turut menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan bagi memudahkan proses mengesan atau mengenal pasti rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.

"Usaha sama turut dilaksanakan oleh Misi Diplomatik Malaysia di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai, Xi'an termasuk pusat persahabatan dan perdagangan Malaysia di Taipei," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang tinggal atau bercuti di kawasan-kawasan terjejas dinasihatkan untuk memberi keutamaan kepada tahap keselamatan serta kesihatan diri dengan mengambil langkah berjaga-jaga, selain mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengelakkan berada di tempat awam dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk atau masalah pernafasan dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari kawasan terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan: