Dua maut, bas persiaran bawa pelancong China terbalik di Jalan Genting
BENTONG - Dua maut selepas bas persiaran membawa pelancong warga China dilaporkan terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa yang maut merupakan dua penumpang lelaki dipercayai warga China.
Menurutnya, pemandu bas, dua pemandu pelancong warga tempatan dan 16 penumpang warga China yang lain dilaporkan cedera dan berjaya dibawa keluar.
"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.43 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dan Unit Bomba Genting ke lokasi untuk operasi menyelamat," katanya.
Ismail berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.
"Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak kesihatan dan dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan.
"Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!