Sita, dakwa pengusaha tapak sampah haram - Suee Lim

Suee Lim (empat dari kiri) melihat gas yang keluar dari tapak sampah haram di Black Water Lake, Bandar Mahkota Cheras pada Isnin.
Suee Lim (empat dari kiri) melihat gas yang keluar dari tapak sampah haram di Black Water Lake, Bandar Mahkota Cheras pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Kerajaan negeri memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha tapak pelupusan sampah haram di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, pihaknya mengarahkan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada kompaun sebaliknya diperbanyakkan tindakan sitaan dan pendakwaan terhadap pelaku.

Menurutnya, kegiatan aktiviti sampah menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan kos tinggi untuk pemulihan tanah dan turut memberikan kesan kepada penduduk berhampiran.

"Tapak sampah haram di Mahkota Cheras terkenal dengan bau busuknya dan terus mengeluarkan gas walaupun kita telah berjaya cegah serta putuskan rantaian aktiviti tersebut.

"Asap atau gas beracun ini terus keluar dan bau merebak sejauh 3 hingga ke 4 kilometer sehingga rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terut terkesan bau," katanya menerusi perkongsian di status Facebook Story pada Isnin.

Beliau berkongsi keadaan lokasi selepas mengadakan lawatan ke tapak Black Water Lake, Bandar Mahkota Cheras yang kini dalam proses pemulihan pada Selasa.

Suee Lim (kanan) meninjau keadaan Black Water Lake, Bandar Mahkota Cheras pada Isnin
Suee Lim (kanan) meninjau keadaan Black Water Lake, Bandar Mahkota Cheras pada Isnin

Turut hadir Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari yang meninjau tapak pelupusan sampah di sekitar Kajang.

Artikel Berkaitan:

Beliau menggesa pihak tidak bertanggungjawab tidak terus merosakkan alam sekitar dan kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus membuat pemantauan bagi mengawal aktiviti berkenaan.

"Saya minta pengusaha dan ulat tapak haram untuk hentikan aktiviti ini atau berdepan tangkapan. Kita beri amaran jangan terus lakukan kerosakan alam sekitar.

"Kerajaan negeri dan PBT akan terus pantau kegiatan ini bagi memastikan kesihatan penduduk dapat dijaga," katanya.

Sementara itu, LUAS memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan serta pemantauan rapi di Sungai Perimbun serta Sungai Langat bagi memastikan air sisa daripada kawasan tersebut tidak memberi kesan serta menjejaskan kualiti sumber air berhampiran.

Pada masa sama, LUAS giat dalam mengumpulkan maklumat dan bukti-bukti kukuh bagi memastikan tindakan penguatkuasaan pendakwaan dapat diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen LUAS 1999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!