Tindakan tegas terhadap individu terlibat pergaduhan - FAM

Md Dali
Md Dali
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pergaduhan pada pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

Amaran itu diberikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Asisten Komisioner (B) Md Dali Wahid sambil menegaskan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan badan induk berkenaan.

Beliau berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan berada di setiap venue pertandingan bagi memantau tahap keselamatan sepanjang perlawanan.

"Taklimat (kepada pasukan) hari ini banyak sentuh berkaitan segala peraturan dan undang-undang pertandingan, selain mengenai keselamatan sebab perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden dianjurkan di padang terbuka dan sedikit di stadium.

"Bila main di padang terbuka seperti tahun lepas, ada insiden yang tak diingini contohnya pergaduhan, ada juga memukul pengadil, jadi kita tak nak perkara sama berlaku dan akan ambil tindakan tegas. PDRM juga akan berada pada perlawanan-perlawanan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Undian Piala Presiden dan Piala Belia 2024 yang berlangsung di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini hari ini.

Pada masa sama, Md Dali yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM melihat Piala Presiden dan Piala Belia masih relevan untuk melahirkan bakat-bakat baharu.

"Pertandingan ini merupakan projek pembangunan, saya yakin ia merupakan landasan bagi negeri memilih pemain-pemain untuk beraksi pada Sukma (Sukan Malaysia) nanti. Kami yakin akan lahir pemain-pemain terbaik untuk mewakili pasukan negara satu hari nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam pertandingan Piala Presiden yang merupakan saingan bagi kategori umur Bawah 20 Tahun (B-20) bermula 21 April ini, sementara Piala Belia (B-18) yang menghimpunkan 18 pasukan dijadual bermula pada 27 April.

Saingan peringkat kumpulan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan format liga dua pusingan sebelum empat pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati yang turut menggunakan format timbal balik sehingga final.


Berikut senarai pasukan yang bertanding pada Piala Presiden dan Piala Belia 2024:

Piala Presiden

Kumpulan A: Johor Darul Ta’zim (JDT) III, Sabah FC, Terengganu FC III, Kuala Lumpur (KL) City FC, Perak FC III, Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) B-17, Melaka FA, Kelantan FA

Kumpulan B: Negeri Sembilan FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Kelantan United FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, PDRM FC

Piala Belia

Kumpulan A: Selangor FC, Sabah FC, Perlis United FC, Melaka FA, Kelantan United FC, Kelantan FA, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, KL City FC

Kumpulan B: JDT IV, Kuching City FC, AMD B-16, PDRM FC, Touchtronics FC, Penang FC, Terengganu FC IV, Perak FC IV, KDA FC - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28