4 warga asing pecah rumah ditahan polis

Antara barangan yang dirampas daripada suspek terbabit.
Antara barangan yang dirampas daripada suspek terbabit.
A
A
A

AMPANG - Empat individu termasuk seorang wanita warga asing diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah rumah di Kampung Ampang Indah di sini, pada 24 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 3.10 pagi, selepas mengesyaki rumah berkenaan telah dipecah masuk.

"Pengadu ke sana selepas dimaklumkan kakaknya untuk melihat rumah berkenaan.

"Setibanya di rumah tersebut, dia mendapati ruang tamu dan bilik berselerak serta beberapa barang telah hilang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Azam berkata, rumah itu dipercayai dipecah masuk melalui tingkap bilik belakang kerana gerigi besi dipecah serta dicabut.

"Susulan laporan yang dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya memberkas tiga lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 35 tahun di Kampung Tasek Permai di sini, pada Ahad," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit, satu komputer riba, satu tablet, empat utas jam tangan, satu tali jam tangan dan beberapa pakaian bagi membantu siasatan.

"Modus operandi suspek menyasarkan perumahan teres tidak berpenghuni ketika melakukan pecah rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah narkotik.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Isnin hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!