KKM nasihat tangguh lawatan ke Wuhan, China

Alat yang digunakan untuk mengesan mereka yang dijangkiti.
Alat yang digunakan untuk mengesan mereka yang dijangkiti.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China kecuali untuk urusan yang tidak boleh dielakkan berikutan penularan wabak koronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi memastikan wabak berkenaan tidak menular di Malaysia, KKM telah mengambil langkah pencegahan awal seperti bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan di semua pintu masuk negara.

Menurutnya, saringan pesakit di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital turut diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki dirujuk serta dikendalikan segera dengan memenuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi.

“Terdapat 26 buah hospital KKM yang telah dikenal pasti di seluruh negara bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki tersebut.

“Sampel yang diperoleh daripada pesakit akan dihantar untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), yang merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian.

Foto menunjukkan ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama didapati negatif jangkitan. - Foto FB Ketua Pengarah Kesihatan
Foto menunjukkan ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama didapati negatif jangkitan. - Foto FB Ketua Pengarah Kesihatan

“Sekiranya terdapat kes disyaki koronavirus yang dikesan daripada mana-mana fasiliti kesihatan, kes akan dilaporkan dengan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini pihak CPRC Kebangsaan telah menerima empat kes yang disyaki dijangkiti koronavirus dan pesakit berkenaan telah dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama didapati negatif bagi jangkitan koronavirus.

“Merujuk kepada kes disyaki terbaru yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah pada 22 Januari 2020, beliau berada dalam keadaan stabil. Keputusan ujian bakal diperoleh dalam masa yang terdekat,” katanya.

Katanya lagi, KKM akan terus memantau situasi kejadian jangkitan itu melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.