Malaysia mampu lebih menyerlah di Surabaya-Malang 2024

Sebahagian atlet yang akan menggalas cabaran negara pada AUG Surabaya-Malang 2024 bermula Selasa.:Foto - FB Sukan IPT. (Gambar kecil: Pekan)
Sebahagian atlet yang akan menggalas cabaran negara pada AUG Surabaya-Malang 2024 bermula Selasa.:Foto - FB Sukan IPT. (Gambar kecil: Pekan)
A
A
A

KONTINJEN negara diyakini mampu meraih lebih daripada 35 pingat emas yang disasarkan dalam temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 di Indonesia bermula Selasa hingga 6 Julai depan.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Malaysia, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan mentaliti juara dalam kalangan atlet institusi pengajian tinggi negara berada pada tahap terbaik selepas menjalani persiapan rapi sekali gus menjadi teras kepada keazaman tersebut.

"Di Thailand dulu, sasaran diletakkan berdasarkan analisis pengurus-pengurus pasukan dengan 38 pingat emas, tapi kita umumkan 35 pingat emas. Bagi edisi Surabaya-Malang 2024 kali ini berdasarkan analisis pengurus-pengurus pasukan terhadap prestasi dalam kalangan negara Asia Tenggara, sasaran yang berani diletakkan hanya 35 pingat emas.

"Namun saya optimis sekiranya pingat perak yang dimenangi kontinjen negara di Thailand dalam kebanyakan acara termasuk olahraga dan sukan tempur mampu diterbalikkan keputusannya di sini, kita mampu capai lebih banyak emas daripada yang disasarkan bagi edisi Surabaya-Malang 2024.

"Tambahan pula sasaran ditetapkan kali ini agak spesifik, jadi sekali lagi kita mengharapkan atlet-atlet negara dapat menampilkan aura luar biasa masing-masing tidak hanya dalam acara olahraga bahkan juga kategori sukan lain," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Pada 26 Jun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT ke Surabaya-Malang 2024, mengumumkan 35 pingat emas diikuti sasaran kelompok tiga terbaik menjadi misi negara di Indonesia.

Jelas Pekan lagi, penguasaan serta kelebihan tuan rumah Indonesia dalam beberapa acara seperti rock climbing, bola tampar pantai selain kem wushu tidak bersama negara di Surabaya-Malang 2024 juga perlu disambut sebagai cabaran buat atlet negara.

Malah tegas Pekan, kontinjen negara kali ini turut mempertaruhkan pengalaman lebih 50 peratus dalam kalangan atlet yang pernah beraksi di Ubon Ratchathani 2022, Thailand lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Suhairi Ismail optimis barisan terbaik kali ini memiliki keupayaan untuk merealisasikan misi kelompok tiga terbaik temasya tersebut.

"Sejujurnya motivasi semua atlet berada pada tahap terbaik dan kita juga yakin selepas melihat persiapan semua atlet.

"Kita juga mengingatkan atlet negara untuk mengekalkan tahap disiplin tinggi masing-masing sepanjang mengharungi temasya tersebut.

"Aspek pengambilan makanan semasa juga penting diberikan perhatian atlet bagi memastikan tumpuan kekal fokus," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!