Umpan gelang sendiri sebelum larikan barang kemas

Polis sedang mengesan wanita ini untuk membantu siasatan.
Polis sedang mengesan wanita ini untuk membantu siasatan.
A
A
A

KOTA BHARU - Akibat terleka dan tidak mengunci almari pameran, seorang peniaga barang kemas kerugian kira-kira RM9,122.80 apabila seutas rantai emas di kedainya dilarikan seorang wanita di Pasar Siti Khadijah.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, kedai mangsa didatangi suspek berusia lingkungan 20-an yang berpura-pura mahu menukar beli barang kemas miliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 40 tahun didatangi wanita terbabit yang pada mulanya mahu mencuba seutas gelang tangan jenis pulut dakap seberat 42.78 gram.

Katanya, selepas beberapa kali mencuba gelang tersebut, suspek menyerahkan kembali kepada mangsa sebelum mengeluarkan gelang miliknya untuk ditimbang dan menilai harga agar proses tukar beli dapat dilakukan.

“Sebelum itu mangsa sudah menyimpan gelang tangan di dalam almari pameran, namun terlupa menguncinya dan ketika sedang menimbang gelang milik wanita itu, suspek membatalkan hasratnya sebelum beredar.

“Mangsa seterusnya tersedar bahawa gelang tangan jenis pulut dakap yang berada dalam almari pameran hilang sebelum bertindak memanggil suspek yang sudah melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati suspek mengambil rantai dalam almari pameran semasa mangsa sedang leka menimbang gelang milik wanita itu.

Katanya, hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek memakai baju berwarna ungu gelap, memakai tudung cerah bercorak bunga serta berseluar kelabu.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait dengan suspek diminta tampil menghubungi pihak polis.

“Kepada peniaga emas di kawasan Pasar Siti Khadijah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berurusan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Sebelum itu, kejadian terbabit tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet.