Pelajar kudung tangan, kaki tapi cemerlang SPM

How Xue Qi, 18, berkata, kekurangan dimilikinya bukan satu halangan untuk berjaya dalam pelajaran malah enggan sedih dengan nasibnya itu sebaliknya terus pandang ke hadapan.
How Xue Qi, 18, berkata, kekurangan dimilikinya bukan satu halangan untuk berjaya dalam pelajaran malah enggan sedih dengan nasibnya itu sebaliknya terus pandang ke hadapan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada apa yang mustahil dan kekal positif dalam kehidupan walaupun serba kekurangan.

Itu motivasi dan semangat yang tertanam dalam jiwa Penerima Anugerah Inspirasi dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 Negeri Johor yang kudung kedua-dua belah tangan dan kaki kiri.

How Xue Qi, 18, berkata, kekurangan dimilikinya bukan satu halangan untuk berjaya dalam pelajaran malah enggan sedih dengan nasibnya itu sebaliknya terus pandang ke hadapan.

Anak sulung daripada empat beradik itu lebih gemar menumpukan perhatian kepada pelajaran dan minat seninya.

"Saya sangat gembira kerana mendapat anugerah ini. Pada SPM lalu, saya lulus semua subjek dan mendapat A bagi subjek Pendidikan Seni Visual.

"Saya memang minat dengan subjek seni, sejak kecil lagi saya sudah mula melukis dan mewarna menggunakan kaki kiri, saya juga masih ada menyimpan beberapa hasil lukisan semasa kecil dahulu.

"Saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang pereka dalaman pada masa depan," katanya yang kini merupakan seorang pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini.

Artikel Berkaitan:

Xue Qi menerima anugerah kecemerlangan daripada Aznan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 Negeri Johor di KSL Hotel and Resort, Johor Bahru pada Ahad
Xue Qi menerima anugerah kecemerlangan daripada Aznan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 Negeri Johor di KSL Hotel and Resort, Johor Bahru pada Ahad

Dia merupakan seorang daripada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dan menerima anugerah dalam majlis tersebut yang berlangsung di KSL Hotel and Resort di sini pada Ahad.

Dalam majlis berkenaan, seramai 60 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023 diberikan anugerah yang disampaikan Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.

Xue Qi berkata, dia amat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan ahli keluarga terutama ibu dan bapanya yang sentiasa memberikan galakan buat dirinya agar meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Selain guru dan rakan-rakan, kembar saya iaitu How Xue Thing, 18, juga banyak membantu proses pembelajaran saya sepanjang di sekolah. Dia juga banyak membantu saya mengangkat beg sekolah," jelasnya.

Xue Qi turut menasihati mana-mana individu orang kurang upaya (OKU) lain agar tidak terlalu memandang kekurangan fizikal dihadapi sebaliknya sentiasa ceria menempah kehidupan.

Seorang lagi penerima anugerah kecemerlangan bagi calon Orang Asli, Anna Maria Ahmad, 18, yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (AMK) Taman Rinting 2 bercita-cita untuk menjadi seorang peguam pada masa depan.

"Saya menanam hasrat untuk menjadi seorang peguam setelah melihat satu isu pertikaian melibatkan undang-undang di kawasan penempatannya iaitu di Kampung Orang Asli Kuala Masai," katanya.

Sejak isu itu katanya, dia nekad mahu menjadi seorang peguam bagi memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli dan pada masa sama mahu mengajak lebih ramai Orang Asli untuk menuntut ilmu.

"Mungkin sekarang mereka tidak melihat kepentingan pendidikan, tetapi pada masa depan inilah aspek yang akan dapat meningkatkan lagi tahap kualiti kehidupan kita dan keluarga," ujarnya yang mendapat keputusan 5A 2B dalam keputusan SPM 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!