Budak basuh kaki tergelincir sebelum lemas

Muhammad Aiman Alfian Abdullah, 7, ditemui lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Pulau Duyong Wan Su di sini petang semalam.
Muhammad Aiman Alfian Abdullah, 7, ditemui lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Pulau Duyong Wan Su di sini petang semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hajat seorang murid mahu membasuh kaki selepas bermain bola di padang berhampiran berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Pulau Duyong Wan Su di sini semalam.

Muhammad Aiman Alfian Abdullah, 7, ditemui lemas pada jam 6.30 petang oleh penduduk kampung yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian.

Difahamkan sebelum kejadian, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Duyong di sini baru sahaja selesai bermain bola bersama dua rakannya di padang berhampiran sebelum ke sungai tersebut untuk membasuh kakinya.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tergelincir ke dalam sungai dan kejadian itu turut dilihat dua rakannya yang ada bersama ketika itu sebelum masing-masing pulang ke rumah untuk meminta bantuan ahli keluarga.

Bapa tiri mangsa, Shamsul Hizam Sulong, 41, berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak tirinya itu selepas dihubungi isteri, Ismaniza Ismail yang meminta supaya balik segera kira-kira jam 6.30 petang.

"Saya yang sedang bekerja di kawasan Seberang Takir, Kuala Nerus bergegas ke lokasi dan masa sampai jam 6.50 petang saya nampak dia sudah kaku dalam pangkuan jiran. Saya juga diberitahu sebelum ambulans tiba dia diberi rawatan awal oleh jiran kami itu.

"Masa dalam ambulans pun, dia turut diberi rawatan susulan tetapi sebelum tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dia tak beri sebarang tindak balas," katanya sebak ketika ditemui di perkarangan HSNZ malam tadi.

Shamsul Hizam Sulong
Shamsul Hizam Sulong

Artikel Berkaitan:

Shamsul Hizam yang bekerja sebagai pemandu lori itu berkata, anaknya tiba di bahagian kecemasan HSNZ kira-kira jam 7.15 malam sebelum ditolak ke bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaannya yang tidak sedarkan diri.

"Setengah jam kemudian, saya bersama isteri dimaklumkan doktor yang dia sudah tidak dapat diselamatkan lagi selain mengesahkan anak kami sudah meninggal dunia.

"Kami reda dengan ketentuan ini, malah sudah berjanji yang tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak. Disebabkan itulah kami membuat keputusan tidak membenarkan anak kami dibedah siasat," katanya.