X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Abdul Aziz bawa MAS terbang tinggi

Abdul Aziz
A
A

KUALA LUMPUR - Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman akan diingati sebagai tokoh korporat yang menjulang nama syarikat penerbangan Malaysia Airlines System (kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad) di persada antarabangsa.

Sepanjang hampir sedekad Abdul Aziz, 86, menerajui MAS, syarikat itu bukan sahaja cemerlang dari segi kedudukan kewangan, tetapi mendapat sanjungan kerana perkhidmatan dalam penerbangan yang menyerlah.

Allahyarham menyertai MAS pada April 1971 sebagai Setiausaha Syarikat/Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang.

Sewaktu mengambil alih sebagai Pengarah Urusan MAS pada 1982, syarikat itu menanggung RM39 juta defisit dan memerlukan RM70 juta untuk dana operasi.

Namun, ketika Abdul Aziz bersara pada 1991, beliau meninggalkan syarikat itu dengan rizab tunai sebanyak RM5 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Pengarah Urusan MAS meninggal dunia

Syarikat itu juga mencatat pertumbuhan drastik dalam jumlah penumpang, kapal terbang serta laluan penerbangan.

Berkelulusan undang-undang dari Lincoln's Inn, London, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memulakan karier awalnya sebagai pengamal undang-undang, termasuk menjadi Majistret, Yang Dipertua Mahkamah Sesyen dan Penasihat Undang-Udang Persekutuan.

Allahyarham juga terlibat sebagai Pegawai Undang-Undang Majlis Gerakan Negara, apabila tercetusnya rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969.

Bidang undang-undang yang sentiasa dekat di hati Abdul Aziz membawanya kembali menjadi peguam, setelah beliau bersara dari bidang korporat.

Sekiranya tidak perlu berada di mahkamah, beliau akan mengisi masa memberi ceramah kepada pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai undang-undang dan perlembagaan.

Allahyarham juga menyumbang pandangan dan buah fikiran dalam pelbagai bidang melalui media massa.

Abdul Aziz juga memegang pelbagai jawatan lain antaranya Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Pelancongan Malaysia, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia dan Presiden Majlis Institut Pengangkutan Berkanun Antarabangsa.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi kanser pada jam 11.51 malam semalam di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Wan Zakiah Ibrahim dan empat anak (tiga perempuan dan seorang lelaki). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!