[VIDEO] Isu BlackRock: KJ dakwa UMNO pasti tidak setuju

A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa UMNO tidak akan setuju dengan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ini kerana dakwa Khairy, beliau yakin sewaktu penjualan itu dicadangkan, perkara berkenaan tidak dibentangkan terlebih dahulu kepada Kabinet.

“Saya nak bersangka baik dengan rakan-rakan di dalam UMNO, parti lama saya. Saya yakin kalau perkara ini dibawa ke Jemaah Menteri, menteri-menteri UMNO pasti akan bantah.

“Tapi kalau isu dibawa ke Jemaah Menteri dan ditanya boleh atau tidak Khazanah dijual kepada BlackRock, menteri-menteri UMNO yang saya kenal lah pasti tidak setuju,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai Rapat Umum: Tolak BlackRock, Selamatkan Harta Negara! di KL-Selangor Chinese Assembly Hall( KLSCAH), pada Khamis.

Khairy (duduk, kiri) bersama sebahagian pemimpin,ahli politik dan wakil NGO yang hadir pada Rapat Umum: Tolak BlackRock, Selamatkan Harta Negara! di KL-Selangor Chinese Assembly Hall( KLSCAH) pada Khamis.
Khairy (duduk, kiri) bersama sebahagian pemimpin,ahli politik dan wakil NGO yang hadir pada Rapat Umum: Tolak BlackRock, Selamatkan Harta Negara! di KL-Selangor Chinese Assembly Hall( KLSCAH) pada Khamis.

Beliau berkata, berkemungkinan perkara itu berlaku kerana tiada keperluan isu Khazanah dibawa ke Jemaah Menteri, sebaliknya ia hanya diputuskan di Lembaga Pengarah Khazanah dan dimaklumkan kepada pengurusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi dalam kes ini kerana perkara ini melibatkan sesuatu yang akan menyentuh dasar kerajaan, wajar ia dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dulu.

“Kalau urusniaga biasa, ia tak perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri sebagai contoh Khazanah beli syarikat yang tiada kaitan dengan pendirian ataupun dasar kerajaan tiada masalah," ujarnya.

Tegas Khairy, penjualan kepada BlackRock jelas bertentangan dengan dasar kerajaan Malaysia selama ini termasuklah Kerajaan Madani.

“Sebelum keputusan dibuat dan diumumkan, sepatutnya dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam MAHB.

Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!