180,000 pemilik kenderaan barangan belum daftar SKDS 2.0

Fuziah berucap pada Program Bijak Belanja Pengguna dan Program Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di pasaraya C Mart Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada Khamis. Foto Bernama
Fuziah berucap pada Program Bijak Belanja Pengguna dan Program Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di pasaraya C Mart Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Lebih 180,000 kenderaan barangan didapati masih belum mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh.

Sehubungan itu beliau meminta pemilik kenderaan tersebut supaya segera membuat permohonan, bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel oleh kerajaan.

"Berdasarkan rekod terdapat 389,000 kenderaan kategori itu yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi hanya 209,000 sahaja yang telah mendaftar di bawah SKDS 2.0.

"Jadi, ada lebih kurang 180,000 yang belum daftar... mungkin kerana mereka ingat mereka tak layak atau rasa susah (hendak mendaftar). Tak perlu pun nak ada sehingga 20 kenderaan baru fikir layak (dapat subsidi diesel).

"Kalau ada satu kenderaan, dua atau tiga kenderaan pun sudah melayakkan mereka untuk mendapatkan subsidi, asalkan kenderaan itu termasuk dalam 23 jenis kategori lori pengangkut barang yang tersenarai dalam sistem,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bijak Belanja Pengguna dan Jualan Rahmah Madani Peringkat Pulau Pinang, di Simpang Ampat di sini, pada Khamis.

Fuziah berkata, syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel boleh berbuat demikian melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my, dan seterusnya memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.

Beliau berkata, terdapat lima pilihan syarikat minyak yang boleh dimohon untuk mendapatkan kad subsidi itu, justeru mana-mana pemilik pengangkutan awam dan barangan yang telah memperolehi kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak, dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bagi membolehkan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan (MOF), mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.

Mengenai permintaan Persatuan Pemilik-pemilik Lori Sampah Pulau Pinang untuk memasukkan lori jenis Rigid-Roll on Roll Off (RORO) dalam sistem MySubsidi Diesel, Fuziah berkata, setakat ini kerajaan masih kekal dengan senarai 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang layak.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada kenderaan yang tidak termasuk dalam 33 kategori itu, kita masih buka ruang untuk mereka buat rayuan dan jawatankuasa rayuan akan teliti setiap permohonan.

"Sebaiknya jika ada masalah, saya cadangkan supaya lebih baik tulis surat dan kita boleh adakan sesi libat urus antara persatuan dengan kementerian, berjumpa secara bersemuka supaya boleh bincang secara lebih mendalam dan cari penyelesaian terbaik,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!