Tubuh jawatankuasa rentas kementerian banteras seludup diesel - Exco

Azman
Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan disaran menubuhkan Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian bagi membanteras kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi yang didakwa berlaku dalam kalangan nelayan tempatan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu perlu diambil bagi membendung kegiatan itu daripada berleluasa.

"Saya cadang agar diwujudkan satu Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian yang dipengerusikan sendiri oleh PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi mencari penyelesaian kepada isu ini.

"Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) boleh membantu dengan mencadangkan formula penyelesaian berkesan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rafizi dalam ceramahnya di Sungai Bakap sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini.

Berdasarkan rakaman ucapan itu, Rafizi menyatakan kegiatan penyeludupan diesel melalui bot-bot nelayan antara punca kehilangan berbillion-billion ringgit subsidi diesel selama ini.

Mengulas lanjut, katanya, dakwaan wujud kegiatan penyeludupan diesel di tengah laut membabitkan golongan nelayan adalah serius kerana melibatkan kemampuan serta integriti agensi berkaitan dalam membendung jenayah itu.

Menurutnya, dakwaan itu bukan sahaja melibatkan pihak penguatkuasa malah turut mempengaruhi tanggapan terhadap profesion golongan nelayan.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan soal integriti dan kemampuan agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyusun mekanisma pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan.

"Bukan itu sahaja, malah pekerjaan sebagai nelayan yang menyabung nyawa di lautan bagi membekalkan makanan kepada negara juga telah dimomokkan dengan dakwaan yang begitu negatif," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, semua agensi mempunyai peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan negara terutama melibatkan kes-kes jenayah dan penyeludupan.

"Jabatan Perikanan menguruskan pemberian lesen nelayan. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyaluran minyak subsidi nelayan.

"Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang di laut yang berada di bawah beberapa kementerian," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!