X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Terengganu tumpu 23 lokasi panas dalam Op Selamat 16

Aidi (kiri) bersama Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin (dua dari kanan) yang turut sama dalam Majlis Pelancaran Kempen Op Selamat 16, Tahun Baru Cina 2020 Peringkat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Nerus semalam.
A
A

KUALA NERUS - Polis Terengganu akan memberi tumpuan pengawasan terhadap 23 laluan atau lokasi panas yang dikesan kerap berlaku kemalangan sepanjang tempoh Op Selamat 16 yang bermula 18 Januari hingga 1 Februari.

Sebanyak 23 laluan berkenaan termasuk Kilometer (KM) 2- KM 6 Jalan Tengku Mizan dan KM 10-KM 32 Jalan Kuala Terengganu/ Kota Bharu di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Di Besut, laluan terlibat ialah di KM 90 dan KM112-KM114 Jalan Kuala Terengganu/Kota Bharu manakala di Dungun, tiga laluan terlibat termasuk di KM 72, KM 87 dan KM 100 Jalan Kuala Terengganu/Kuantan.

Sementara di Kemaman pula, tiga jalan terlibat termasuk KM114-KM 124 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, KM 150-KM160 Jalan Jerangau-Jabor dan di KM 310-KM 320 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Di Marang, empat laluan diberi tumpuan iaitu KM23, KM33- KM36 dan KM42 Jalan Kuala Terengganu/Kuantan serta KM 12-KM 24 Jalan Kuala Terengganu/Kuala Berang.

Di Setiu, tiga jalan persekutuan terlibat iaitu di KM 50 dan KM 71-KM 82 Jalan Kuala Terengganu/Kampung Raja (Jalan Pantai) serta KM 50 Jalan Kuala Terengganu/ Kota Bharu.

Selain itu di Hulu Terengganu, enam laluan diberi tumpuan termasuk di KM 1-KM 4 Jalan Ajil/Kuala Berang, KM 36-KM 38 Jalan Ajil/Bukit Besi, KM 13-KM 16 Jalan Kuala Berang/Kuala Ping, KM 10-KM 12 Jalan Kuala Berang/Telemong dan dua laluan lebuhraya iaitu di KM 380-KM 395 dan KM 409 LPT 2.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, seramai 58 pegawai dan 362 anggota polis akan ditugaskan bagi mengawasi kelancaran keadaan lalu lintas serta keselamatan.

“Statistik dalam tempoh empat hari Op Selamat 16 menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan berbanding Op Selamat 14 disebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Justeru, Polis Terengganu akan memberikan tumpuan kepada kesalahan seperti memandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, potong barisan dan langgar lampu isyarat,” katanya selepas melancarkan Kempen Op Selamat 16, Tahun Bharu Cina 2020 peringkat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Beliau berkata, Polis Terengganu siap siaga dan komited dalam memastikan keselamatan dari segi jenayah dan lalu lintas sepanjang Op Selamat 16.

“Kami juga akan memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan oleh mereka yang pulang ke kampung halaman dengan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan.

“Orang ramai diminta mengisi borang ‘Balik Kampung’ yang disediakan di setiap Balai Polis berhampiran bagi memudahkan polis membuat pemantauan dan rondaan ke kawasan-kawasan perumahan,” katanya.

Selain mengisi borang, orang ramai boleh menghantar makluman balik kampung melalui aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus