Berkat jadi 'guru' kepada rakan

Imran (kiri), Muhammad Aniq Fahmi (tengah) dan Ahmad Iqbal menunjukkan keputusan mumtaz sofi yang diperoleh mereka dalam STAM semalam.
Imran (kiri), Muhammad Aniq Fahmi (tengah) dan Ahmad Iqbal menunjukkan keputusan mumtaz sofi yang diperoleh mereka dalam STAM semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menjadi guru muda secara bergilir sesama rakan dalam mengulang kaji pelajaran menjadi rahsia kejayaan seorang anak juruteknik elektrik memperoleh keputusan dengan gred tertinggi iaitu 'mumtaz sofi' dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 yang diumumkan semalam.

Imran Sulaiman, 19, dari Jalan Pasir Panjang, di sini merupakan salah seorang daripada empat pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang mendapat mumtaz sofi iaitu semua cemerlang dalam 10 mata pelajaran yang diambil.

Menurut Imran yang aktif dalam bidang kokurikulum hingga dinobatkan pendebat terbaik dalam pertandingan debat bahasa Arab terbuka peringkat kebangsaan, tips tersebut diperoleh daripada guru dan mereka belajar secara berkumpulan bermula sebelum Subuh.

"Guru kami menyebut zakat kepada buku adalah membaca, zakat kepada ilmu pula adalah mengajar. Jadi dengan ajar sesama diri, selain bantu sahabat yang kurang faham, ia juga membantu kami memahami, hafal subjek tertentu.

"Namun begitu, fokus belajar macam mana pun, hubungan dengan ALLAH SWT kena jaga, itu yang penting," katanya yang bercita-cita menjadi pakar dalam bidang faraid iaitu ilmu pembahagian harta pusaka.

Anak kelima daripada enam beradik kepada pasangan Sulaiman Ismail, 54, dan Zainunah Ismail, 51, seorang suri rumah itu berhasrat untuk menyambung pelajaran di Mesir dalam bidang syariah.

SMAASZA mempunyai 50 calon yang mengambil peperiksaan STAM 2019 dan daripada jumlah itu, empat pelajar mendapat mumtaz sofi dan 14 pelajar memperoleh keputusan mumtaz dengan GPS 1.89.

Artikel Berkaitan:

Pelajar yang memperoleh mumtaz sofi dan mumtaz bergambar kenangan selepas keputusan STAM diumumkan semalam.
Pelajar yang memperoleh mumtaz sofi dan mumtaz bergambar kenangan selepas keputusan STAM diumumkan semalam.

Sementara itu, Muhammad Aniq Fahmi Kauzi, 20, anak pasangan guru dari Sungai Tong, Setiu pula berkongsi rahsia kejayaannya dengan membuat persiapan awal peperiksaan bermula dari awal tahun lagi.

"Bulan satu dan dua saya sudah habis baca semua silibus mata pelajaran STAM. Bakinya hanya tunggu guru ajar, ulang kaji dan ajar kawan-kawan saja.

"Jadi saya nasihat pelajar agar jangan tunggu saat akhir, belajar awal-awal," katanya yang juga memperoleh keputusan mumtaz sofi dalam peperiksaan percubaan STAM.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Ahmad Iqbal Maliki, 20, dari Jabi, Besut yang bercita-cita menjadi mufti berkata, selain membuat persediaan awal dan menjaga hubungan dengan ALLAH, ibu bapa, guru dan rakan-rakan, dia juga mementingkan pemakanan.

Menurut Ahmad Iqbal, dia tidak menjamah makanan yang dilarang oleh ibunya, Rahimah Ismail, 57, seperti mi segera dan makanan ringan selain belajar berkumpulan bersama rakan-rakan.

"Cabaran menuntut ilmu sekarang memang banyak terutama telefon bimbit. Telefon ini ada baik buruknya jadi kena pandai buat pilihan.

"Saya hanya guna aplikasi untuk belajar saja, saya abaikan benda tidak bermanfaat," katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang syariah di Mesir.