'Tak perlu lagi susun kayu, batu sungai dapat bekalan air'

Batu dan kayu yang digunakan sebelum ini untuk membaiki kolam air yang pecah di Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Labis tidak dapat bertahan lama.
Batu dan kayu yang digunakan sebelum ini untuk membaiki kolam air yang pecah di Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Labis tidak dapat bertahan lama.
A
A
A
SEGAMAT - Kesukaran kira-kira 200 penduduk daripada 64 keluarga di Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Labis dekat sini berdepan masalah bekalan air graviti yang terganggu sejak setahun lalu bakal selesai tidak lama lagi.

Tok Batin kampung terbabit, Achai Kais, 62, berkata, masalah yang menghantui penduduk itu akan berakhir selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermurah hati menghulurkan bantuan.

Menurutnya, Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM) menyumbang bahan asas untuk membaik pulih sistem paip sedia ada dan kerja-kerja pembaikan sudah pun dimulakan minggu lalu.

"Antara punca masalah gangguan air di kampung ini berlaku disebabkan tembok tandak atau kolam kecil yang menjadi punca saluran air di Sungai Hantu berdekatan kampung kami pecah ketika banjir pada Mac tahun lalu.

"Selepas kejadian itu kami penduduk kampung bergotong-royong membaiki tandak tersebut menggunakan kayu serta batu sungai bagi memastikan penduduk terus mendapat bekalan air," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima barang binaan seperti simen, polypaip dan paip PVC bernilai lebih RM12,000 sumbangan PKJPM pada Selasa.

Sukarelawan PKJPM membantu menurunkan paip yang disumbangkan bagi membaiki sistem paip sedia ada
Sukarelawan PKJPM membantu menurunkan paip yang disumbangkan bagi membaiki sistem paip sedia ada



Pada masa sama Achai menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi PKJPM, Tan Lek Khang yang tidak mengambil masa lama untuk menghulurkan bantuan iaitu tidak sampai sebulan sejak dia mengajukan masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Katanya, selepas kejadian banjir pada Mac tahun lalu, setiap kali hujan lebat dan paras air meningkat, tembok tandak yang dibina menggunakan kayu dan batu sungai akan runtuh sekali gus memberi kesan kepada bekalan air ke rumah penduduk.

Artikel Berkaitan:


Kejadian tersebut katanya, kerap berlaku dan berharap sumbangan barangan yang diterima itu masalah tersebut dapat diatasi serta mampu memberi keselesaan kepada penduduk yang semakin bertambah.

"Kerja-kerja membina tandak baharu serta memasang saluran polypaip baharu yang bersaiz lebih besar ini akan dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.



"Saya harap dengan adanya tandak yang lebih kukuh selain saiz polypaip yang lebih besar dari tandak ke kawasan kampung sejauh kira-kira 1.2 kilometer itu, isu bekalan air penduduk akan dapat diatasi sepenuhnya selepas ini," katanya.

Tambahnya, sistem bekalan air graviti itu memerlukan penyelengaraan yang kerap bagi memastikan saluran paip tidak dimasuki sampah mahu pun pasir yang boleh menyebabkan tekanan air berkurangan atau jika tidak bernasib baik akan terus tersumbat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!