'Terpaksa berhati-hati sebelum salur bantuan'

AZ pemurah (kiri) menyampaikan bantuan beras dan ayam kepada 500 penerima di kawasan Tun Sardon, Permatang Pauh bagi berkongsi rezeki dengan mereka.
AZ pemurah (kiri) menyampaikan bantuan beras dan ayam kepada 500 penerima di kawasan Tun Sardon, Permatang Pauh bagi berkongsi rezeki dengan mereka.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Pempengaruh Tiktok dan Instagram, AZ pemurah mengakui perlu berhati-hati dalam menyalurkan bantuan kepada pemohon berikutan beberapa kali diperdaya pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau yang mempunyai pengikut seramai 1.9 juta di Tiktok berkata, setiap hari dia akan menerima mesej mengenai permohonan bantuan daripada orang ramai termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pelbagai jenis permohonan yang diterima seperti membaiki rumah rosak, menampung kos rawatan dan perjalanan ke hospital malah ada yang minta wang belanja disebabkan baharu diberhentikan kerja.

"Bila saya baca DM (mesej) dan permohonan yang diminta pasti membuatkan hati ini tersentuh dengan kesusahan yang mereka alami, namun selepas beberapa kali terkena dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan, sekarang saya perlu lebih berhati-hati.

"Kalau permohonan diterima jauh dari Pulau Pinang, saya akan minta rakan-rakan untuk pantau dan melihat keadaan sebenar pemohon dahulu sebelum kami turun ke sana untuk menyampaikan bantuan yang diminta," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan bantuan kepada golongan asnaf di kawasan Tun Sardon baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan, usahawan tudung jenama DOA AZ itu mengedarkan 500 kampit beras dan 500 ekor ayam serta set tudung keluaran syarikatnya kepada penerima.

Beliau yang selesa memakai pelitup muka dan mahu mengekalkan kerahsiaan identiti diri kepada orang ramai berkata, bantuan yang disalurkan merupakan hasil keuntungan perniagaannya yang perlu dikongsi dengan golongan yang memerlukan.

Katanya, dengan bantuan yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban dan memberi keceriaan kepada penerima bagi meraikan hari raya Aidiladha kali ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!