Kerajaan pertimbang hukuman berat kesalahan curi kabel komunikasi

Fahmi pada sidang media ketika menghadiri Program Korban Perdana Lembah Pantai pada Isnin. Foto Bernama
Fahmi pada sidang media ketika menghadiri Program Korban Perdana Lembah Pantai pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menimbangkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hukuman itu akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Saya akan minta pasukan di Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk meneliti dan memberi beberapa ulasan serta cadangan (hukuman) kerana pada waktu ini, draf pindaan akta itu sedang diteliti dan diperinci, melibatkan beberapa peruntukan mengenai aspek mutu perkhidmatan rangkaian (telekomunikasi).

"Pindaan ini kita buat bukan hanya kerana melihat kejadian kecurian kabel dan vandalisme tetapi juga disebabkan (gangguan) mutu perkhidmatan komunikasi, kerana ini antara perkara yang sering dibangkitkan oleh para pengguna, oleh itu ia dalam penelitian sebelum kita bawa ke Parlimen nanti,” katanya kepada pemberita pada Program Korban Perdana Lembah Pantai di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai tindakan kerajaan untuk membendung kegiatan mencuri kabel tembaga komunikasi yang semakin berleluasa ketika ini.

Mengenai langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menubuhkan pasukan ‘duta online’ untuk menyampaikan maklumat dan menangkis fitnah di alam maya, Fahmi berkata pihaknya tiada masalah berhubung perkara itu.

"Saya tidak lihat penubuhan itu akan menyebabkan mereka masuk (menyentuh) bidang pihak-pihak yang lain, tetapi penyelarasan dari segi maklumat yang hendak disampaikan mesti dilakukan.

"Insya-ALLAH saya akan meneliti perkara ini bersama menteri (Nga Kor Ming) kerana saya belum berkesempatan untuk mendapatkan taklimat penuh daripada pihak KPKT mengenai usaha itu,” katanya.

Khamis lepas, Nga mengumumkan penubuhan pasukan ‘duta online’ itu yang terdiri daripada 200 kakitangan kementerian itu bagi menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih serta dasar-dasar kerajaan secara efektif. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!