MAA jangka impak penyasaran subsidi diesel ke atas jualan kenderaan tidak ketara

Kementerian Kewangan menguatkuasakan harga runcit diesel di Semenanjung pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2024. Foto Bernama
Kementerian Kewangan menguatkuasakan harga runcit diesel di Semenanjung pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2024. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) menjangka penyasaran subsidi diesel tidak membawa impak ketara terhadap jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) memandangkan kenderaan diesel di seluruh negara berada di bawah 12 peratus selain pemberian subsidi bersasar kepada penerima dan sektor yang layak.

Selain itu, kerajaan juga masih meneruskan pemberian subsidi kepada golongan B40, kenderaan komersial yang layak dan juga kepada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak, kata MAA dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Dengan pelaksanaan ini, diharap kerajaan dapat terus memberi insentif atau subsidi tenaga kepada teknologi terkini seperti kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri, dan kenderaan elektrik sel bahan api," kata persatuan itu.

Memandangkan subsidi yang diluluskan tidak merangkumi kesemua penggunaan sektor yang terlibat mendapat subsidi, MAA berkata, mekanisma rebat yang tepat dan efisien amat diperlukan.

"Adalah penting kuota subsidi untuk sektor ini dibuat dengan jelas bagi mengelakkan pengendali pengangkutan daripada menaikkan kadar pengangkutan yang akan memberi kesan kepada orang awam dan daya saing negara,” katanya.

Sementara itu, MAA mengunjurkan TIV tahun ini kekal pada tahap yang dirancang memandangkan permintaan terhadap kenderaan diesel komersial, trak pikap dan van masih tinggi.

Menurutnya, walaupun pengguna mungkin akan lebih berhati-hati untuk membuat keputusan membeli pada awalnya tetapi tidak akan menafikan pembelian memandangkan keperluan kenderaan diesel masih diperlukan untuk kegunaan semasa.

Di Malaysia, kebanyakan kenderaan yang menggunakan enjin diesel adalah trak pikap, van dan kenderaan perdagangan.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada penggunaan persendirian, pengguna kenderaan ini kebanyakannya daripada sektor pembinaan, perladangan, logistik, pelancongan dan pengangkutan selain amat penting untuk kelangsungan operasi perniagaan syarikat.

Pada 10 Jun lalu, Kementerian Kewangan menguatkuasakan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2024. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!