Bot nelayan tempatan ditahan langgar syarat lesen

Empat kru warga asing dikesan bekerja di atas bot nelayan tempatan yang ditahan kerana disyaki melanggar syarat lesen.
Empat kru warga asing dikesan bekerja di atas bot nelayan tempatan yang ditahan kerana disyaki melanggar syarat lesen.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang bertindak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C selepas dikesan melanggar syarat lesen apabila tidak mempunyai permit kerja sah dan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran.

Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot tempatan dikendalikan empat kru warga asing termasuk tekong ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di lokasi kira-kira 2.5 batu nautika dari timur laut perairan Kuala Endau, Rompin pada Khamis.

Menurutnya, bot itu ditahan ketika anggota sedang menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot dan kru warga Thailand berusia 33 hingga 58 tahun itu mendapati salah seorang daripada mereka tidak memiliki permit kerja sah.

"Bot terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah untuk beroperasi dan menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kes itu juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Zainudin berkata, kesemua kru, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan seberat 2.8 tan kilogram yang dirampas dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.

"Komuniti maritim diingatkan bahawa aktiviti menangkap ikan tanpa lesen atau melanggar syarat merupakan satu kesalahan utama dan sering dilakukan kebanyakan bot nelayan terutamanya di perairan Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar dan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang ditetapkan," tegasnya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!