Mourinho ramal Portugal julang trofi Euro

Mourinho (kiri) meramalkan penyerang England, Harry Kane muncul penjaring terbanyak kejohanan Euro 2024 yang berlangsung di Jerman. Foto Agensi
Mourinho (kiri) meramalkan penyerang England, Harry Kane muncul penjaring terbanyak kejohanan Euro 2024 yang berlangsung di Jerman. Foto Agensi
A
A
A

JOSE Mourinho meramalkan Portugal akan berentap dengan pasukan di ranking keempat dunia, England di perlawanan akhir Euro 2024 yang berlangsung di Jerman bermula esok.

Perlawanan pembukaan Euro 2024 menyaksikan tuan rumah, Jerman berdepan Scotland dalam saingan Kumpulan A.

England yang hadir ke kejohanan kali ini selaku naib juara edisi 2020, muncul pasukan pilihan untuk meraih gelaran raja benua Eropah.

Skuad The Three Lions diundi dalam Kumpulan C dan bertemu Serbia dalam perlawanan pertama di Arena AufSchalke pada awal pagi Isnin.

Bagaimanapun, Mourinho percaya Gareth Southgate tidak mampu membimbing skuad England muncul juara buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di kejohanan tersebut.

Sebaliknya, Mourinho yang pernah membimbing kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea, Manchester United dan Tottenham Hotspur memilih Portugal sebagai juara edisi kali ini.

“Setakat ini ada tiga pasukan yang berpotensi menjuarai Euro iaitu Portugal, England dan Perancis.

“Tapi saya ramal Portugal boleh jadi juara selepas berentap dengan England di perlawanan akhir,” ujar Mourinho.

Artikel Berkaitan:

Walaupun memilih Portugal sebagai juara, Mourinho tetap menceriakan penyokong England apabila meramalkan ayam tambatan Three Lions, Harry Kane akan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Euro 2024.

Malah, Mourinho yang kini dilantik sebagai pengendali Fenerbahce percaya anugerah pemain terbaik kejohanan menjadi milik bintang muda England, Jude Bellingham.

Sebagai rekod, Bellingham, 20, menyerlah bersama Real Madrid sepanjang musim ini dan membantu gergasi Sepanyol itu menjuarai Liga Juara-Juara selepas menundukkan Borussia Dortmund 2-0 di perlawanan akhir pada 2 Jun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!