Wanita mati dalam rumah: Polis klasifikasi kes bunuh, anak suspek utama

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Polis mengklasifikasikan semula siasatan kematian seorang wanita berusia 60 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Mujur dekat Bercham di sini pada Rabu sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala dan leher.

Menurutnya, tindakan itu berdasarkan laporan dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sebaik bedah siasat selesai dijalankan sekitar jam 9.15 pagi pada Khamis.

"Siasatan kes pada awalnya dijalankan di bawah kematian mengejut telah diklasifikasikan semula atas kesalahan membunuh dengan niat.

"Bertindak atas maklumat, polis telah mengenal pasti individu disyaki terlibat dan tangkapan telahpun dilakukan pada hari sama kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun yang juga anak mangsa itu telah direman selama tiga hari sehingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.

"Semakan rekod lampu mendapati, suspek mempunyai 11 rekod pelbagai kesalahan jenayah termasuk kes dadah," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, dalam kejadian itu, warga emas terbabit ditemukan dalam keadaan tertiarap dan muka berlumuran darah oleh orang awam pada jam 3.36 petang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan tiada kecederaan luaran lain dikesan.

Sehubungan itu, pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut untuk tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad ditalian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kematian ibunya yang ditemukan dengan kesan kecederaan di belakang pintu ruang tamu rumah.

Berdasarkan keterangan ahli keluarga, lelaki terbabit merupakan satu-satunya individu yang tinggal bersama mangsa pada malam sebelum kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!