8 tahun menanti, kanak-kanak Sindrom Down akhirnya dapat status warganegara

Ramanan ketika berjumpa dengan Irdina Saffiyah yang dibawa oleh penjaganya ke pejabat beliau baru-baru ini. Foto Facebook R Ramanan
Ramanan ketika berjumpa dengan Irdina Saffiyah yang dibawa oleh penjaganya ke pejabat beliau baru-baru ini. Foto Facebook R Ramanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas lapan tahun menanti, seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down yang berdepan masalah jantung berlubang di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras (RKHPJ) di Sungai Buloh, Selangor akhirnya beroleh taraf kewarganegaraan.

Berkongsi kegembiraan itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kelulusan permohonan Irdina Saffiyah Abdul Fattah telah dimaklumkan kepada pengurus pusat jagaan berkenaan selepas dipersetujui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail minggu lepas.

Ramanan berkata, kes Irdina Saffiyah dirujuk ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh oleh penjaga merangkap pengurus rumah kebajikan berkenaan iaitu Jamaluddin Wahab pada Januari lepas dan berikutan itu, beliau terus menghubungi serta meminta bantuan Saifuddin Nasution untuk memudahkan proses permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tersebut.

"Saya amat berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana atas persetujuan serta keprihatinan beliau, akhirnya Irdina bakal menikmati segala keistimewaan sebagai warganegara Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berharap dengan kewarganegaraan yang dimiliki, Irdina Saffiyah dapat memohon kad Orang Kurang Upaya (OKU) selepas ini bagi membolehkannya belajar di sekolah pendidikan khas serta menikmati bayaran perubatan yang murah dan mudah di fasiliti kesihatan.

Ramanan berkata, Irdina Saffiyah merupakan bayi yang ditinggalkan di hac bayi Pusat Perubatan Universiti Malaya sebaik dilahirkan.

Selepas dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Irdina Saffiyah ditempatkan di RKHPJ.

Beliau berkata, selain sindrom Down, Irdina Saffiyah menghidap masalah jantung berlubang yang memerlukannya dirawat secara berkala di hospital demi kelangsungan hidup namun ketika usia dua tahun, dia hanya mendapat sijil kelahiran bukan warganegara kerana tidak memiliki sebarang dokumen semasa ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, kos rawatannya tidak sama seperti anak berstatus warganegara yang hanya perlu membayar kos rawatan dengan subsidi oleh kerajaan.

"Lebih menyedihkan walaupun berstatus OKU, hak pendidikan Irdina juga dinafikan kerana tidak dibenarkan bersekolah di sekolah pendidikan khas atau Pemulihan Dalam Komuniti kerana tidak memiliki kad OKU,” katanya.

Ramanan turut mendoakan agar Irdina Saffiyah diberikan kesihatan yang baik dan beliau berjanji akan terus membantunya supaya kanak-kanak itu menjadi insan berjaya pada masa hadapan.

Beliau juga berkata, Irdina Saffiyah telah menunjukkan reaksi yang sangat gembira sehingga membuatkan mereka yang berada di sekelilingnya menangis apabila dimaklumkan mengenai berita itu.

Ramanan turut memaklumkan telah berjumpa dengan kanak-kanak itu apabila Irdina Saffiyah dibawa oleh penjaganya ke pejabat beliau baru-baru ini.

Pertemuan itu telah menceriakan suasana di pejabat Ramanan kerana Irdina Saffiyah terus menyapa beliau dan secara spontan melakukan ‘high five’ atau tepuk ria.

"Agak sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu. Hanya diri saya dapat menyelaminya kerana adik Irdina cukup dekat di hati saya,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!