X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat perlu berpegang kepada prinsip Rukun Negara

Profesor Dr Sivamurugan Pandian
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu berpegang kepada prinsip Rukun Negara yang memang diwujudkan bermatlamat memulihkan perpaduan selepas berlaku peristiwa hitam, 13 Mei.

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, Rukun Negara itu jelas bagi memastikan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini yang pernah berdepan masalah ketegangan kaum.

"Konteksnya bertujuan mempertahankan amalan demokratik yang pernah kita amalkan. Bermaksud ada kebebasan tetapi secara terpimpin.

"Faham, hormat, terima. Bagaimana kita mahu meningkatkan pemahaman. Mampukah kita menghormati perbezaan yang wujud. sejauh manakah kita mampu pertahankan penerimaan itu," katanya pada Program Wacana Siri 151 bertajuk Rukun Negara: Di manakah nilai-nilai hidup rakyat Malaysia, di Auditorium Karangkraf, di sini.

Bercakap pada program itu Sivamurugan berkata, Rukun Negara juga membolehkan amalan liberal, kesederhanaan dan tatasusila dalam masyarakat dapat dipertahankan.

"Liberal bermaksud bagaimana kita mampu meningkatkan fitrah saling mengenali antara satu sama lain. Liberal tidak terlalu taksub terhadap satu kepercayaan, tidak terlalu radikal, ekstrem mempertahankan kepercayaan atau ritual yang telah menjadi satu amalan. Liberal tidak bermaksud kita menidakkan apa yang telah dididik, diasuh dan disemai.

"Nilai kesederhanaan juga boleh kita tingkatkan supaya boleh memelihara sensitiviti antara masyarakat," katanya.

Beliau memberitahu audiens, masyarakat Malaysia perlu kembali kepada asas tanpa perlu menyalahkan ahli politik semata-mata dalam isu perkauman.

"Saya salahkan golongan senyap sebenarnya yang tidak menyuarakan pendapat mereka. Kita sering menyalahkan ahli politik seolah-olah mereka yang bertanggungjawab. Bagi saya kita yang bertanggungjawab kerana memelihara perpaduan, integrasi dan kemuafakatan adalah tanggungjawab bersama.

"Apabila kita biarkan ahli politik mengeluarkan kenyataan yang dikatakan sensitif, bagi mereka mungkin tidak sensitif kerana dalam politik negara kita adalah berdasarkan kaum dan agama. Semua parti politik ditubuhkan berdasarkan itu. Sudah pasti ada kepentingan tertentu. Tapi masyarakat secara keseluruhannya harus bertanggungjawab secara total," katanya.