'Dahlah rempuh pegawai Imigresen, merayu dilepaskan pula'

JIMNS melakukan operasi selama dua hari di Kuala Pilah dan Seremban. - Foto: JIMNS
JIMNS melakukan operasi selama dua hari di Kuala Pilah dan Seremban. - Foto: JIMNS
A
A
A

SEREMBAN - Sudahlah merempuh pegawai Imigresen ketika mahu melarikan diri, merayu pula minta simpati agar dilepaskan semasa serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di premis sekitar Seremban dan Kuala Pilah.

Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi selama dua hari bermula Isnin itu dilakukan antara jam 9 pagi hingga 2 pagi Selasa membabitkan 12 premis keseluruhanya.

"Hasil daripada operasi itu, seramai 84 individu dari pelbagai warganegara diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua PATI yang ditahan berusia 18 hingga 47 tahun membabitkan 24 warga Myanmar, Indonesia (sembilan), Bangladesh (empat), seorang Pakistan dan tiga warga Sri Lanka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun Kennith berkata,semasa operasi dijalankan di salah satu lokasi, terdapat cubaan melarikan diri dengan merempuh pegawai Imigresen yang terlibat serta berlaku adegan meraih simpati dengan merayu kepada pegawai untuk dilepaskan, namun kesemua mereka berjaya ditahan.

"Mereka telah dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut. Sebanyak 11 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan.

"JIMNS berterima kasih kepada orang ramai yang telah membantu JIMNS dengan menyalurkan maklumat berhubung keberadaan PATI.

"Kami mengalu-alukan sebarang maklumat sedemikian dan menjamin kerahsiaan pemberi maklumat. Kami juga ingin mengingatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI dan tindakan tegas boleh diambil jika berbuat demikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!