Pas tidak akan menyertai PH, kata Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama politiknya dengan UMNO, Barisan Nasional (BN) melalui Maufakat Nasional.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu juga akan terus menjadi pembangkang konstruktif dalam dan luar Parlimen serta berperanan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan PH.

"Selama ini Pas tidak pernah terfikir apa lagi memohon untuk menyertai PH, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kerjasama politik dengan UMNO,BN melalui Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Lebih-lebih lagi berikutan pertambahan anggota blok pembangkang dengan kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan bahawa PH tidak memerlukan Pas sebagai rakan sekutu yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: PH tidak perlukan Pas, kata Saifuddin

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus wujud gerakan untuk membawa Pas berganding dengan PH ketika menghadiri Program Food Bank Malaysia di Bukit Angkat, Kajang, semalam.

Terdahulu, Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan turut menolak sebarang gerakan atau cadangan untuk membawa masuk Pas menyertai kerajaan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat kepada PH.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Takiyuddin, Pas menyifatkan kenyataan Saifuddin penuh dengan kebimbangan, menggelabah dan tertekan selain menunjukkan kedudukan parti komponen dalam PH yang tidak stabil.

"Kenyataan beliau (Saifuddin) yang juga dipetik sebagai berkata ‘PH tidak perlukan Pas sebagai rakan sekutu’ menunjukkan kedudukan PH yang tidak stabil dan dalam keadaan berkrisis sesama komponennya.

"Kenyataan penuh bimbang pimpinan Keadilan (PKR) dan juga Amanah terhadap Pas akhir-akhir ini ibarat ‘anjing takut bayang-bayang’ dan kami menyatakan ‘biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan’," katanya.