X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan terus beri khidmat kepada penduduk Kimanis: Mohd Shafie

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus memberikan perkhidmatan bukan sahaja kepada penduduk di Kimanis tetapi juga rakyat di negeri Sabah pada keseluruhannya.

Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pada masa yang sama, usaha memperbaiki ekonomi, sistem pendidikan dan pembangunan infrastruktur di negeri ini akan diteruskan.

"Apa yang penting, kita perlu bersikap rendah diri dan sentiasa utamakan kepentingan rakyat tidak kira kaum dan agama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada PRK Parlimen Kimanis Sabtu lepas, calon Warisan yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Menurut Mohd Shafie, Warisan menerima keputusan para pengundi di Parlimen Kimanis.

"Mereka telah bersuara dan mereka telah pun membuat keputusan, kami juga mengambil tanggungjawab atas kekalahan calon parti dalam PRK ini.

"Alhamdulillah, PRK Parlimen Kimanis telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berterima kasih kepada para pengundi yang telah keluar beramai-ramai, sekali gus menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi pada hari pengundian.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera parti (Warisan) yang bekerja kuat dan memberi sumbangan dalam PRK ini," kata Mohd Shafie. - Bernama