Tetap pendirian tak benar atlet Israel masuk Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

“Kita tetap tidak benar... Kalau mereka mai (datang) juga ia adalah satu kesalahan.

“Jika mereka mahu menarik semula hak penganjuran kejohanan itu dari Malaysia sekali pun, mereka boleh berbuat demikian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) 1/2019 di Putrajaya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Atlet renang paralimpik Israel dilarang masuk Malaysia]

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Kejohanan itu dilihat sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selaku penganjur kejohanan berkenaan turut dilaporkan berdepan dilema ekoran larangan terhadap atlet Israel daripada menyertai pertandingan itu.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, Malaysia tidak akan membenarkan atlet renang paralimpik Israel memasuki negara ini bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak, Julai ini.

Beliau berkata, ini disebabkan Malaysia mempunyai dasar luar negara yang amat jelas terhadap Israel.