Perak catat hasil RM1.09 bilion

Ahmad Faizal (tengah) bersama-sama barisan Exco dan penjawat awam selepas menyampaikan amanat Tahun Baru 2020 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ahmad Faizal (tengah) bersama-sama barisan Exco dan penjawat awam selepas menyampaikan amanat Tahun Baru 2020 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berjaya mencatat hasil RM1.09 bilion pada tahun 2019 berbanding sasaran RM1.03 bilion yang dirancang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 106.2 peratus atau RM63.9 juta berbanding tahun 2018.

Menurutnya, penyumbang utama kepada peningkatan hasil kerajaan negeri adalah melalui kutipan hasil tanah oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Perak dan semua pejabat tanah dengan jumlah keseluruhan RM688.7 juta atau 106.91 peratus berbanding sasaran RM644.2 juta pada tahun 2019.

"Kita bersyukur kerana pencapaian ini membolehkan kerajaan negeri menutup akaun berakhir Disember 2019 dengan jumlah surplus sebanyak RM52.33 juta, meningkat berbanding surplus sebanyak RM50.11 juta yang direkodkan pada tahun 2018.

"Terdapat pihak-pihak yang akan mengatakan bahawa prestasi yang baik ini adalah disebabkan kerajaan telah mengurangkan perbelanjaan terutama perbelanjaan pembangunan.

"Ini adalah andaian yang tidak berasas kerana rekod menunjukkan prestasi perbelanjaan mengurus dan emolumen mencapai tahap 96 peratus manakala perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak 90 peratus," katanya ketika berucap pada Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2020 di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Exco-exco kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, prestasi ekonomi Perak turut berkembang sebanyak 5.3 peratus pada tahun 2018 iaitu lebih tinggi daripada paras nasional iaitu 4.7 peratus.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu katanya, data daripada Jabatan Perangkaan pada tahun 2018 menunjukkan penduduk Perak yang berada dalam pasaran kerja meningkat manakala bilangan tenaga buruh asing menurun.

Jelasnya, bagaimanapun, berdasarkan data juta, sebahagian besar iaitu 66.9 peratus daripada peratusan penduduk negeri ini bekerja sebagai tenaga separuh mahir manakala 22.9 peratus lagi berada dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah dan hanya 10.2 peratus daripada rakyat negeri ini berada dalam kategori pekerja mahir.

"Susulan itu, pentadbiran ini telah memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan asing dan domestik bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda dan graduan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

"Tumpuan juga diberikan kepada usaha menarik pelaburan berasaskan modal bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut mengingatkan agar semua pihak perlu belajar daripada sejarah kejatuhan komoditi bijih timah disebabkan perbalahan antara pembesar dan Perang Larut 1867 sehingga membawa kepada campur tangan British yang kemudiannya menjarah hasil bumi di negeri ini.

Menurutnya, kejayaan menguruskan khazanah bumi ini bergantung kepada kestabilan politik dan perpaduan sesama pemimpin, penjawat awam dan rakyat.