Pelaburan Google bukti perencanaan kerajaan jelas - Anwar

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaburan Google berjumlah AS$2 bilion (RM9.4 bilion) menjadi bukti kepada perencanaan kerajaan yang jelas, selain kekuatan ekonomi dan sumber negara, menjadi tarikan kepada pelabur sedia ada dan baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, pada Khamis.

Google pada Khamis mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 billion di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Anwar berkata, pelaburan Google ini akan menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

"Pelaburan ini dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar AS$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030,” kata beliau.

Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lepas, Anwar berkata, beliau telah menekankan bahawa selain dukungan kepada penggunaan AI secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian.

"Ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini,” kata beliau. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!