Speaker DUN serah notis kekosongan kerusi kepada SPR

Choo Kiang (dua dari kanan) menyerahkan notis kekosongan kerusi Dun Sungai Bakap kepada Siti Nazariah di Bangunan Dun Pulau Pinang pada Isnin.
Choo Kiang (dua dari kanan) menyerahkan notis kekosongan kerusi Dun Sungai Bakap kepada Siti Nazariah di Bangunan Dun Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin.

Choo Kiang menyerahkan notis berkenaan kepada Pengarah SPR Pulau Pinang, Dr Siti Nazariah Abdul Zalim pada jam 2 petang di lobi bangunan DUN Pulau Pinang dekat sini.

Menurut Choo Kiang, penyerahan notis tersebut selaras dengan Fasal 5, Perkara 19 Perlembagaan Pulau Pinang.

"Suka tak suka kita perlu maklumkan kepada SPR bahawa ada kekosongan di Dewan Undangan Negeri hari ini. Saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri akan menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap kepada Pengarah SPR negeri.

"Ini semua selaras dengan Fasal 5, Perkara 19 Perlembagaan Pulau Pinang. Kita perlu buat notis pengumuman kepada SPR supaya SPR boleh menjalankan tugas susulan," katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.

Dalam pada itu, Choo Kiang menyatakan kesedihnya di atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff pada Jumaat lalu kerana komplikasi di dalam perut.

Kata Choo Kiang, pemergian Nor Zamri bukan sahaja satu kehilangan bagi warga DUN Pulau Pinang malah seluruh rakyat di kawasan Sungai Bakap.

"Berita kematian Nor Zamri amat menyedihkan dan ia satu kehilangan besar. Allahyarham adalah seorang wakil rakyat yang dihormati dan disayangi di kawasan Sungai Bakap.

Artikel Berkaitan:

"Seluruh warga DUN Pulau Pinang bersedih dengan pemergian Allahyarham," katanya.

Jumaat lalu, Nor Zamri telah meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.38 petang.

Nor Zamri dimasukkan ke hospital susulan sakit perut dan diberikan ubat tidur untuk membolehkannya berehat.

Bagaimanapun selepas beberapa hari diberi rawatan, beliau dilaporkan stabil dan semakin menunjukkan perkembangan positif.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!