X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lokasi pantai di Terengganu jadi 'perangkap maut'

Papan tanda larangan mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga lokasi pantai yang menjadi tumpuan pengunjung di Terengganu dikenal pasti menjadi 'perangkap maut' kepada mereka yang gemar mandi-manda di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, tiga lokasi terbabit melibatkan kawasan Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu serta kawasan Pantai Teluk Lipat dan Tanjung Bidara, Dungun.

"Walaupun kawasan ini menjadi lokasi tumpuan awam, ia merupakan kawasan merbahaya kepada pengunjung untuk mandi-manda berdasarkan keadaan persekitaran kawasan itu.

"Tempat ini mungkin boleh dijadikan pilot projek untuk menempatkan pusat sehenti (one stop centre) bagi cadangan penubuhan Pasukan Khas Penyelamat Pantai yang turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Pelancaran Pemeriksaan Premis MBK Sempena Ops Perayaan Tahun Baru Cina hari ini.

MOHAMAD SHOKI
MOHAMAD SHOKI

Mengulas lanjut katanya, pasukan khas penyelamat pantai wajar ditubuhkan disebabkan keadaan geografi negeri ini yang mempunyai kawasan pantai yang luas.

"Pusat rekreasi di Terengganu lebih tertumpu di kawasan pantai kerana sepanjang 244 kilometer (km) negeri ini adalah kawasan pesisir pantai.

"Jika dilihat daripada segi bentuk dan kecerunan pantai di Terengganu, ia adalah pantai yang tidak selamat untuk aktiviti berkelah dan mandi-manda.

"Jadi, saya sarankan supaya kita memakai konsep luar negara (Australia) untuk menubuhkan pasukan khas penyelamat pantai," katanya.

Selain itu, katanya beliau turut menyarankan supaya pihak berkaitan dapat mengkaji untuk memperkenalkan silibus khas (keselamatan di air) kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sudah tiba masanya untuk kita memperkenalkan silibus itu kepada pelajar sejak awal usia.

"Ia sebagai langkah awal kerana kita semua terdedah kepada bentuk muka bumi di Terengganu yang terkenal selain dikenali dengan pusat pelancongan air," katanya.

Selain itu, Mohamad Shoki berkata, terdapat lima lokasi air terjun yang kerap berlaku kes lemas iaitu Air Terjun Sekayu dan Belukar Bukit di Hulu Terengganu; Lata Cangkah dan Lata Payung di Setiu serta Lata Tembakah di Besut.

Dalam perkembangan sama katanya, sebanyak 67 kematian direkodkan akibat kes lemas di Terengganu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

"Sepanjang 2017 sebanyak 22 kes berlaku dengan 22 kematian dan seramai 35 mangsa yang selamat.

"Pada 2018 berlaku peningkatan kes lemas kepada 31 kes dengan jumlah kematian (31), cedera (1), selamat (40).

"Tahun lalu (2019) berlaku penurunan jumlah kes lemas kepada 16 kes, kematian (14), cedera (7) dan selamat (17)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus