Polis kesan pemandu Mercedes Benz kuning

Mercedes Benz berwarna kuning yang dikatakan berlumba di Jalan Kubang Kerian ke Pasir Hor pada Jumaat lalu.
Mercedes Benz berwarna kuning yang dikatakan berlumba di Jalan Kubang Kerian ke Pasir Hor pada Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis sedang mengesan dua pemandu kereta mewah jenis Mercedes Benz berwarna kuning yang didakwa terbabit dalam perlumbaan haram di Jalan Kubang Kerian ke Pasir Hor Jumaat lalu.

Perlumbaan tersebut dipercayai dilakukan sekumpulan individu pada jam 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Polis sedang mengesan pemandu kereta terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita akan siasat terlebih dahulu dan mengambil tindakan berpandukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, perlumbaan haram di jalan raya adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan didenda minimum RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan” katanya.

Dalam pada itu rakaman video berdurasi 2.28 saat itu memaparkan gelagat kumpulan terbabit menyekat lalu lintas sebelum memulakan perlumbaan di jalan sehala tersebut.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang pemilik kereta berkenaan dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan kosmetik di Kelantan.

Video perlumbaan itu dikongsi seorang pelayar Facebook yang menggunakan nama akaun Dhanice Percy pada jam 7.45 malam semalam.

Video meraih 49,800 tontonan, 394 perkongsian, 562 komen dan 439 tanda suka setakat jam 1.20 petang hari ini.

Nitezen mengecam tindakan berlumba yang didakwa sebagai strategi pemasaran.
Nitezen mengecam tindakan berlumba yang didakwa sebagai strategi pemasaran.

Status yang dimuat naik turut mengatakan perlumbaan itu menyulitkan orang ramai kerana menyekat lalu lintas dan mengharapkan tindakan diambil PDRM.

Sementara itu, seorang pemilik akaun Iqmalhan Norhan Toys memberi komen dengan menyifatkan perlakuan berlumba tersebut sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman.

Netizen juga mengecam tindakan itu yang dikatakan sebagai satu daripada strategi pemasaran oleh pihak pemilik kosmetik berkenaan.