Padah tidak ikut syarat sah lesen perikanan

Bot nelayan tempatan yang ditahan APMM Tanjung Sedili petang semalam.
Bot nelayan tempatan yang ditahan APMM Tanjung Sedili petang semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili menahan sebuah bot nelayan tempatan petang semalam kerana dipercayai menangkap ikan secara haram.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, bot nelayan jenis Kelas C itu ditahan ketika sedang menunda pukat kira-kira jam 1 petang di kedudukan 7.8 batu nautika Timur Laut Tanjung Siang di sini.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati bot itu dikendalikan lima lelaki termasuk tekong. Empat daripada mereka adalah warga Indonesia yang tidak mempunyai permit daripada Ketua Pengarah Perikanan.

“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 47 hingga 48 tahun. Mereka bersama bot berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti APMM Tanjung Sedili untuk disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, tindakan juga akan dikenakan kepada pengusaha bot berkenaan kerana menggaji pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit dan syarat sah lesen perikanan berkenaan.

“Bagi kesalahan menggaji pekerja asing pula, kita siasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM 10,000 tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau keduanya bagi setiap pekerja yang diambil.

“Tindakan pengusaha bot yang tidak memenuhi syarat sah lesen ini akan merosakkan ekosistem laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan lain khususnya nelayan pantai dan maritim Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan: