Darren Lok pula terpaksa diketepikan

Darren Lok
Darren Lok
A
A
A

KEADAAN semakin rumit di bahagian jentera serangan Harimau Malaya selepas seorang lagi penyerang pasukan, Darren Lok terpaksa diketepikan akibat kecederaan menjelang dua aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, Darren Lok hadir melapor diri pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Isnin tetapi terpaksa dilepaskan kerana kecederaan 'hamstring'.

Menurutnya, pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin dipanggil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Darren itu.

"Nur Shamie yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula Selasa.

"Semoga Darren cepat sembuh kembali dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kecederaan pemain Sabah FC itu sudah tentu menambah 'pening' kepala Pan-gon selepas sebelum ini terpaksa menggugurkan Syafiq Ahmad yang juga mengalami kecederaan.

Selain Darren dan Syafiq, skuad negara turut kehilangan khidmat Faisal Halim, Arif Aiman dan Romal Morales yang merupakan tonggak utama di jentera serangan.

Harimau Malaya akan menghadapi dua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun 2024.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!