Perak cari jalan isu penerokaan hutan Kledang Saiong

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan Perak akan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu penerokaan membabitkan hutan Kledang Saiong di Chemor.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu agar penyelesaian yang diambil akan memberi manfaat kepada penduduk serta pihak pemaju yang memiliki tanah tersebut.

"Persatuan Penduduk Taman Chepor Sentosa ada berjumpa dan memohon kerajaan mempertimbangkan supaya tiada apa-apa pembangunan dibina di kawasan tersebut. Penduduk tidak gembira kawasan yang terkenal dengan kehijauannya rosak kerana pembangunan.

"Kita meneliti perkara ini dengan Pejabat Perhutanan dan Pejabat Tanah. Projek ini diluluskan sebelum pentadbiran saya, namun kita sedang cari jalan dengan pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk pastikan apa-apa pembangunan mestilah mengikut peraturan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)," katanya selepas menyerahkan Hakmilik RPT Papan dan penyampaian Notis 5A RPT Bemban Rakyat Daerah Kinta di sini hari ini.

Laporan Sinar Harian mengenai bantahan penduduk Taman Chepor Sentosa baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian mengenai bantahan penduduk Taman Chepor Sentosa baru-baru ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bantahan penduduk yang bimbang kesan kerja-kerja penerokaan kerana terlalu hampir dengan kediaman.

Sebelum ini, isu penerokaan kawasan tersebut pernah didedahkan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 8 Disember tahun lalu.

Presiden SAM, R Meenakshi berkata, daripada pemerhatian pihaknya mendapati kawasan pembalakan yang merupakan sebahagian kawasan Geopark Lembah Kinta itu telah dimusnahkan dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Susulan pendedahan itu, PKNP pada 11 Disember 2019 menjelaskan pembersihan tanah di Hutan Simpan Kledang Saiong itu merupakan projek pembangunan tanah dusun dan bukannya digondolkan bagi tujuan aktiviti penebangan balak seperti yang didakwa SAM.

Dalam kenyataan itu, PKNP memaklumkan projek itu melibatkan pembangunan bersama syarikat Insan Permata Sdn Bhd bagi membangunkan tanah persendirian milik PKNP yang berkeluasan 160.06 hektar terletak di kawasan Perak Hi-Tech.