Tiga jambatan di Jelebu musnah akibat banjir siap dibina - Exco Kanan

Jalaluddin (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan jambatan berkenaan di Kampung Chalin, Jelebu.
Jalaluddin (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan jambatan berkenaan di Kampung Chalin, Jelebu.
A
A
A

JELEBU - Tiga jambatan masing-masing di Kampung Chalin, Kampung Sungai Limau dan Kampung Lubuk Ganchung di sini yang musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021, telah siap dibina pada Februari dan Mac lalu.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jambatan berstatus pertanian sepanjang 36 meter itu mula dibina pada Mei tahun lalu membabitkan kos berjumlah RM1.5 juta menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Biarpun pembinaannya lewat atas pelbagai faktor, penantian kira-kira 300 penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan bagi mendapatkan jambatan baharu sudah pun berakhir.

"Ia sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk susulan bukan sahaja menjadi laluan penduduk kampung ke jalan utama tetapi juga ke kebun-kebun pertanian berhampiran," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, mengenai jambatan di Kampung Bemban yang juga musnah dalam banjir besar itu akan mula dibina tidak lama lagi.

Katanya, ketika ini kerajaan dalam proses memilih kontraktor bagi membina jambatan kekal merentasi Sungai Triang membabitkan kos dianggarkan lebih RM10 juta.

Jalaluddin (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis berkenaan.
Jalaluddin (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis berkenaan.

"Buat masa ini penduduk dari kampung berkenaan menggunakan jambatan bailey yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Januari 2022 bagi menghubungkan penduduk untuk ke Kampung Jerang dan Simpang Durian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jalaluddin berkata, jambatan di Felda Titi yang turut musnah akibat bah besar itu akan dibina semula membabitkan kos RM12 juta.

"Ketika ini kajian sedang dijalankan bagaimana untuk mengatasi masalah tebing runtuh yang masih berlaku kerana ia perlu diatasi sebelum kerja pembinaan jambatan dimulakan," katanya.

Jalaluddin sebelum itu pada Isnin hadir dalam Majlis Penyerahan Jambatan di Kampung Chalin selain meninjau keadaan sekitar.

Hadir sama, Pengarah KKDW Negeri Sembilan/Melaka, Norazlin Mohd Nor dan Pegawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A Aziz.

Jelas Jalaluddin, pembinaan ketiga-tiga jambatan itu turut mencatat sejarah berikutan menjadi projek jambatan pertama yang dilaksanakan oleh Unit Teknikal KKDW Negeri Sembilan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!