Bermula sekadar hobi, kini tauke ladang nanas

Buah nanas MD2 dan Yankee antara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Buah nanas MD2 dan Yankee antara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
A
A
A

CHANGLUN - Tidak malu bergelar usahawan tani pada usia muda, Hafizuddin Mohd Sabri, 27, meneruskan minat dalam sektor pertanian meskipun pada mulanya berjinak-jinak dalam tanaman nanas sebagai hobi.

Bermula dengan menanam nanas di sekeliling rumah, anak sulung lima beradik itu kini mengusahakan ladang seluas satu hektar di Changlun, Kedah.

Berpanas terik dan bergelumang dengan kotoran khususnya pekerjaan dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) bukan alasan untuk tidak meneruskan minat mendalam kerana hasilnya lumayan.

“Saya meminati bidang pertanian dan berkaitan alam sekitar sejak di bangku sekolah. Saya mula tanam Nanas MD2 ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada 12 Julai 2020. Masa itu saya masih di tahun akhir pengajian.

“Saya nekad mengusahakan tanah di sekeliling rumah yang dijadikan sebagai homestay kerana kawasan tersebut sering terabai dan ditumbuhi semak.

“Saya memang jenis yang tidak boleh duduk diam, tambahan pula ketika itu PKP, memang tak boleh ke mana-mana, jadi saya ambil peluang itu untuk berkebun sebagai aktiviti mengeluarkan peluh,” katanya.

Hafizuddin menunjukkan ladang nanas miliknya di Changlun yang akan diperluaskan lagi sehingga tiga hektar.
Hafizuddin menunjukkan ladang nanas miliknya di Changlun yang akan diperluaskan lagi sehingga tiga hektar.

Menurut beliau, sejak itu minat semakin mendalam untuk mempelajari selok-belok tanaman nanas dan berhasrat mengeluarkan hasil dalam skala lebih besar.

Artikel Berkaitan:

“Saya pun buat carian maklumat di internet dan YouTube. Rupa-rupanya ramai pengusaha nanas MD2 di Changlun. Saya pun berguru dengan mereka yang tidak lokek memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman,” ujarnya.

Hafizuddin berkata, hasil kajiannya mendapati bidang pertanian khususnya nanas MD2 berpotensi besar kerana harga tinggi di pasaran dan disifatkan berbaloi kepada petani selain tidak memerlukan sumber air banyak.

“Berbekalkan minat mendalam, saya bermula dari kosong dan belajar dengan usahawan tani yang lebih berpengalaman. Ketika itu, perkara asas seperti baja, racun pun saya tidak tahu.

“Namun dengan keazaman tinggi, saya tidak segan untuk belajar dan bertanya,” katanya yang memulakan tanaman itu dengan modal permulaan RM2,000.

Menurutnya lagi, projek rintis bermula dengan penanaman dalam polibag sebanyak 500 pokok terdiri daripada nanas jenis MD2 dan yankee, sebelum memperbesarkan tanaman kepada skala lebih besar.

“Anggaran untung kasar bagi projek ini ialah sekitar RM5,500 dengan menjual buah segar kepada pelanggan seperti jiran dan rakan-rakan,” ujarnya.

Hafizuddin memaklumkan, ladang baharu akan dibuka di Kampung Changkat Setol, Changlun untuk tanaman nanas MD2 dan yankee dalam masa terdekat.

“Bermula dengan kawasan tepi rumah kini ladang seluas satu hektar ditanam 2,000 pokok, dengan anggaran hasil tuaian 1,000 kilogram dan hasil jualan RM6,000.

“Saya dalam perancangan untuk perluaskan sehingga tiga hektar, selain belajar cara pemasaran untuk perancangan masa depan,” katanya.

Kongsi ilmu

Biarpun masih baharu dalam sektor pertanian, Hafizuddin tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan usahawan tani baharu.

“Saya banyak membuat perkongsian ilmu, antaranya mengenai penyakit nanas, cara mengelakkan serangan makhluk perosak, cara suburkan dan maniskan buah sehinggalah kepada proses menuai.

“Peminat nanas boleh layari laman Facebook milik saya, Nenas MD2 Changloon atau di saluran YouTube, Din Sabri Channel untuk mendapatkan pengetahuan.

“Tujuan perkongsian itu adalah kerana saya ingin sebarkan ilmu dan pengalaman diperoleh kepada rakan tani lain supaya mereka tidak melakukan kesalahan seperti yang telah saya lakukan, selain dapat elakkan kerugian,” katanya.

Bermula dengan menanam di sekeliling rumah sebagai hobi, Hafizuddin kini bergelar usahawan tani.
Bermula dengan menanam di sekeliling rumah sebagai hobi, Hafizuddin kini bergelar usahawan tani.

Menurutnya, usaha ini merupakan amal jariah dan sumbangan bermanfaat yang dikongsikan kepada masyarakat.

“Ramai petani baharu berdepan masalah berkaitan Nanas MD2 khasnya penyakit dan cara pengurusan. Melalui perkongsian itu, saya bantu mereka selesaikan masalah tersebut.

“Malah petani yang sudah lama menanam dalam skala besar juga mengambil manfaatnya,” ujar pemuda itu.

Nanas mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Nanas mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Jelas Hafizuddin lagi, biarpun sudah berjaya memperluaskan ladang nanas, beliau tidak terkecuali berdepan dugaan.

“Saya juga pernah lalui zaman perit, ditipu pembekal dan terjebak dengan pertukaran mata wang asing. Pengajarannya, kita perlu kenal pasti dengan siapa kita berurusan sebelum meneruskan perniagaan walaupun permintaan melonjak.

“Kita juga perlu dapatkan pandangan orang lebih arif dalam bidang tersebut, malu bertanya sesat jalan. Sifat gelojoh dan tergesa-gesa boleh membinasakan diri sendiri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!