SPM 2023: Empat calon Sekolah Integriti, Henry Gurney peroleh semua A

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menunjukkan buku laporan prestasi SPM 2023 di Kementerian Pendidikan pada Isnin.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menunjukkan buku laporan prestasi SPM 2023 di Kementerian Pendidikan pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) mendapat keputusan cemerlang gred A, A dan A-, dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Hafidz Osman berkata, daripada jumlah itu, tiga calon memperoleh lapan A dan seorang mendapat enam A.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 21 tahun itu merupakan calon daripada Sekolah Integriti (SI) Integriti Marang, SI Terengganu; SI Kluang, Johor; SI Puncak Alam, Selangor dan Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka.

"Tahun ini ada 74 calon (SPM) dari tujuh SI dan tiga SHG dan kita mencapai keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun.

"Semua calon yang menduduki SPM tahun lepas lulus atau layak mendapat sijil," katanya ketika sitemui selepas sidang akhbar pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2023 pada Isnin.

Dalam pada itu Hafidz menjelaskan, kejayaan yang dilakar merupakan hasil inisiatif serta kerjasama antara jabatan dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menghantar guru-guru terlatih ke SI dan SHG seluruh negara.

"Penghuni-penghuni SI dan SHG mendapat bimbingan secara terus daripada guru yang berkelayakan dari KPM.

"Kebanyakan calon SPM 2023 dari SI dan SHG adalah lelaki dan mereka ditempatkan di sekolah berkenaan atas pelbagai kesalahan juvana dan penyalahgunaan dadah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ditanya hala tuju calon yang memperoleh keputusan cemerlang, Hafidz berkata, pihaknya sentiasa memberi galakkan kepada mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi kerjasama dengan beberapa universiti dan kolej.

"Ini menunjukkan bahawa Jabatan Penjara bukan sekadar menghukum, tetapi lebih daripada itu dan kita cuba beri peluang lebih baik kepada mereka dari segi pendidikan.

"Sebab kita tahu mereka yang mungkin tersasar sedikit dari landasan kehidupan kembali ke jalan sebenarnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!