[VIDEO] Ibu bapa jadi penguat semangat pelajar Orang Asli raih 9A

A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] "Jangan bandingkan diri dengan orang lain,". Kata-kata daripada seorang ibu itu menjadi penguat semangat kepada pelajar Orang Asli, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan untuk meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan pada Isnin.

Fifi Nurfatin, 18, dari Sekolah Menengah Sains Tapah mengakui pada mulanya tidak meletakkan sasaran tinggi memandangkan hanya memperoleh 3A ketika kertas percubaan SPM lalu.

Bagaimanapun dia bangkit dan bertekad untuk membanggakan kedua ibu bapanya, Noorhayati Alang, 40, dan Marjaidi Hirwan Sinak, 40, dengan pencapaian cemerlang itu.

"Ayah saya selalu mengingatkan diri untuk tidak lupakan solat dan mak pula memberitahu supaya tidak membanding-bandingkan diri dengan orang lain.

Fifi Nurfatin menerima ciuman kasih daripada ibu bapanya selepas memperoleh 9A dalam SPM 2023.
Fifi Nurfatin menerima ciuman kasih daripada ibu bapanya selepas memperoleh 9A dalam SPM 2023.

"Pesanan mereka menjadi motivasi kepada saya menghadapi SPM ini. Saya masih tidak lupa ketika membuat semakan keputusan secara dalam talian tadi, kami semua menangis kegembiraan," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Genting, Chenderiang dekat sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Fifi Nurfatin dari suku kaum Semai menjadi satu-satunya calon Orang Asli di Perak yang meraih semua A dalam mata pelajaran daripada keseluruhan 543 calon.

Fifi Nurfatin menunjukkan slip keputusan SPM 2023 yang diperolehi pada Isnin.
Fifi Nurfatin menunjukkan slip keputusan SPM 2023 yang diperolehi pada Isnin.

Dia memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik, gred A bagi Bahasa Inggeris, Fizik dan Kimia serta A- subjek Matematik Tambahan dan Biologi.

Sepanjang mengikuti pembelajaran di sekolah berasrama penuh itu, dia menjadikan amalan bangun seawal jam 4.30 pagi dan fokus di dalam kelas untuk meningkatkan kefahaman dalam pembelajaran.

Anak sulung daripada empat beradik itu kini merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) demi mencapai cita-citanya menjadi seorang guru.

Fifi Nurfatin bersama ibu bapanya ketawa kegembiraan melihat keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2023.
Fifi Nurfatin bersama ibu bapanya ketawa kegembiraan melihat keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2023.

"Saya harap keputusan SPM saya ini memberi inspirasi kepada pelajar lain bahawa anak orang asli juga mampu berjaya dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih baik," katanya yang turut aktif mewakili sekolah di peringkat daerah dan negeri dalam permainan bola keranjang dan catur.

Sementara itu, Marjaidi Hirwan menganggap kejayaan anaknya itu sebagai kebanggaan keluarga dan contoh kepada adik-beradik lain.

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah turut berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menyalurkan biasiswa tahunan bagi membiayai keperluan persekolahan anaknya itu.

"Dia anak yang baik dan dari kecil memang minat dalam pelajaran. Kami sebagai ibu bapa cuba sedaya upaya memenuhi keperluan pembelajarannya, syukurlah Jakoa banyak membantu meringankan beban," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!