Berbaloi belajar enam jam sehari, anak Orang Asli raih 8A SPM

Puteri Mas Ayu yang merupakan seorang anak Orang Asli dari suku kaum Temoq menunjukkan keputusan SPM yang diperolehnya.
Puteri Mas Ayu yang merupakan seorang anak Orang Asli dari suku kaum Temoq menunjukkan keputusan SPM yang diperolehnya.
A
A
A

KUANTAN - Pengorbanan seorang anak Orang Asli dari suku kaum Temoq yang memperuntukkan enam jam setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran terbukti berbaloi apabila dia meraih keputusan 8A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Puteri Mas Ayu Sudin, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, Maran, tidak menyangka pengorbanan masa dilakukan itu menjadi salah satu rahsia kejayaannya.

"Saya tetapkan masa enam jam setiap hari dan mula belajar seawal jam 8.30 malam. Usaha ini saya lakukan untuk memastikan saya mendapat keputusan cemerlang," katanya.

Puteri Mas Ayu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Puteri Mas Ayu ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Wan Rosdy (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Puteri Mas Ayu ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Seramai 99 pelajar Orang Asli dan SMA Pahang yang mendapat keputusan cemerlang SPM menerima antara RM500 dan RM1,100 seorang.

Sumbangan wang tunai itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jumlah keseluruhan sumbangan itu ialah RM74,100 berdasarkan keputusan yang diperoleh pelajar iaitu RM100 bagi 1A.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, selain itu dia juga memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas agar lebih memahami dengan jelas tentang subjek dipelajari.

"Saya banyak fokus dalam kelas dan memastikan untuk sentiasa memberi perhatian kepada guru.

"Pada waktu malam, saya meluangkan masa untuk membuat nota sendiri dan ia sangat membantu saya dalam mengulangkaji pelajaran," katanya yang berharap dapat melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi Gambang.

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada Ruey Ling ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada Ruey Ling ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Sementara itu, Ng Ruey Ling, 18 dari SMK Lepar, Pekan yang juga Orang Asli memperoleh 7A 1B berterima kasih di atas sokongan yang diberikan keluarga, guru dan rakan.

"Kejayaan ini memberi lebih semangat untuk mengulangi pencapaian lebih baik apabila menyambung pengajian kelak," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sumbangan itu diberikan kepada pelajar yang mendapat 5A hingga 11A iaitu setiap 1A, pelajar akan menerima RM100.

Jelasnya, kerajaan Pahang sentiasa cakna dan memastikan keputusan terbaik akan diperoleh pelajar yang menduduki SPM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!