Bekas kakitangan KRM didakwa guna 58 cek palsu lebih RM2 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas kakitangan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas 58 tuduhan menggunakan cek palsu berjumlah lebih RM2 juta milik kesatuan itu, dua tahun lepas.

Murni Azlina Yurdeksi, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa menggunakan 58 keping cek RHB Bank Berhad berjumlah lebih RM2 juta milik KRM, yang mana beliau mengetahui tandatangan pada cek berkenaan adalah palsu, yang dilakukan di bank RHB di Wholesale City, Dang Wangi di sini, antara 5 Januari hingga 19 Oktober 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Haniff Ahijman dan Raihana Abdul Razak, menawarkan jaminan sebanyak RM350,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam M Vijay Kumar yang mewakili tertuduh, memohon jaminan yang ditawarkan pendakwaan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai empat orang anak dan mengalami penyakit tiroid.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: