Kontroversi kewangan, Sabah 'jauhi' KRM

Ramesh dan Velayuthan Tan (kanan) semasa sidang media pada Jumaat.
Ramesh dan Velayuthan Tan (kanan) semasa sidang media pada Jumaat.
A
A
A

PERSATUAN Ragbi Sabah (SRU) memutuskan untuk menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti atau pertandingan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sehingga badan induk kebangsaan itu menjawab dakwaan berkaitan akaun dan prosiding pemilihan badan sukan itu, Disember lalu.

Presiden SRU, Velayuthan Tan berkata, langkah tersebut diambil untuk memastikan KRM mempunyai tadbir urus yang baik dan berintegriti.

Bekas timbalan presiden KRM itu mendakwa bahawa usaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan pengubahan laporan kewangan yang telah diaudit dan sekurang-kurangnya RM1 juta dikeluarkan daripada akaun bank KRM tidak mendapatkan penjelasan yang sewajarnya.

“Kami tidak mahu mengambil bahagian dalam organisasi yang tidak menunjukkan sebarang akauntabiliti,” dakwanya pada sidang media pada Jumaat.

Setiausaha Kehormat KRM, Fahmy Jalil, ketika dihubungi berkata: “Sama ada presiden (Amir Amri Mohamad) atau saya akan memberikan komen lanjut melalui satu kenyataan tidak lama lagi.”

Pada Disember 2022, KRM mengumumkan bahawa mereka a telah membuat laporan polis setelah menemui sejumlah besar wang dilaporkan dikeluarkan daripada akaun bank persatuan oleh petugas pentadbirannya sejak 2019.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM pada 2 Disember tahun lalu, Amir Amri telah dipilih sebagai presiden baharu selepas Datuk Shahrul Zaman Yahya memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Pada sidang media itu, Setiausaha SRU, L Ramesh, bagaimanapun, mempersoalkan kesahihan AGM pada 2 Disember itu, dengan menyatakan bahawa tiada laporan akaun teraudit dibentangkan kepada ahli gabungan persatuan kebangsaan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tan berkata, SRU akan terus menganjurkan edisi ke-19 Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah di Sandakan, diiktirafkan oleh KRM dan Ragbi Asia (AR), pada 9 dan 10 Mac ini.

Selain itu, katanya, SRU juga turut memberi tumpuan kepada pembangunan pasukan lelaki dan perempuan negeri termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos ini. - Bernama