Pejalan kaki maut digilis kereta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GOMBAK - Seorang pejalan kaki maut akibat dilanggar sebelum digilis beberapa buah kenderaan di kilometer 15, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur menghala ke ibu kota pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 6.18 pagi.

"Mangsa seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti, dia berjalan dari arah Prima Selayang menghala ke kawasan perindustrian di Selayang Segar.

"Ketika cuba melintas jalan mangsa dilanggar sebuah kenderaan sehingga menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan digilis beberapa kenderaan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noor Ariffin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di talian 0122924420.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 0362162222," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!