[VIDEO] Kementerian Komunikasi tampung caruman PERKESO pengamal media sambilan

A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi akan menampung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat 565 pengamal media sambilan bagi tempoh setahun.

Berucap di pentas Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA), Menterinya Fahmi Fadzil berkata, caruman tersebut akan disalurkan melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

'Ini bermaksud, untuk tahun pertama caruman, ia ditanggung sepenuhnya oleh kementerian," katanya pada Isnin.

Menurutnya, data Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) menunjukkan 538 daripadanya tiada caruman PERKESO, namun layak didaftarkan.

"Saya juga meminta agar semua organisasi media berdaftar untuk mengemaskini data masing-masing bagi memudahkan bantuan ini disalurkan oleh kementerian," katanya.

Fahmi berkata, bagi menghargai pengorbanan petugas media, pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media akan diteruskan pada tahun kedua Ogos ini.

"Mana-mana organisasi media berdaftar yang masih belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO), anda boleh terus berhubung dengan pengendali MNO bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media bermula 1 Julai," katanya.

Mengenai perkembangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), Fahmi berkata, kementerian kini di peringkat akhir untuk merealisasikannya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi Fadzil - Foto: Bernama
Fahmi Fadzil - Foto: Bernama

MMC berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

"Kerajaan kini dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-undang (RUU) MMC kepada industri media sebelum dibentangkan di Parlimen, Insya-ALLAH pada Oktober tahun ini," katanya.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

Penganjuran Hawana 2024 memasuki tahun keempat dengan mengangkat tema Etika Teras Kewartawanan Mapan.

Seramai 1,000 pengamal media dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan, Qatar dan Perancis hadir ke majlis tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!