Scammer kini guna nama Kementerian Komunikasi perdaya mangsa

Poster amaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi berhubung aktiviti sindiket penipuan yang menggunakan nama kementerian tersebut.
Poster amaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi berhubung aktiviti sindiket penipuan yang menggunakan nama kementerian tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penipuan kini menggunakan nama Kementerian Komunikasi sebagai taktik terbaru untuk memperdaya orang ramai.

Perbuatan tersebut dikesan berlaku sejak dua minggu lalu apabila sindiket terbabit menghubungi mangsa dengan menggunakan nombor telefon bimbit.

Sindiket tersebut kemudian mengatakan mereka membuat panggilan daripada Kementerian Komunikasi berhubung aduan terhadap nombor telefon mangsa.

Menurut sindiket itu, mangsa mempunyai sebanyak 38 aduan berhubung hantaran palsu yang dibuat ke media sosial dengan menggunakan nombor telefon mangsa.

"Perkara itu kononnya sedang disiasat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan mangsa diminta untuk datang segera ke pejabat untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Bagaimanapun, mangsa perlu menyelesaikannya dalam tempoh sehari atau waran tangkap dikeluarkan," kata mangsa kepada Sinar Harian.

Jelas mangsa lagi, sindiket berkenaan cuba memperdaya mangsa dengan mengatakan mereka boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan mengenakan sejumlah wang.

Ekoran daripada itu, mangsa telah membuat semakan dengan pihak kementerian dan mengesahkan bahawa ia merupakan satu penipuan.

Artikel Berkaitan:

Malah semakan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga mengesahkan perkara tersebut.

Menurut SKMM, setiap siasatan yang dijalankan oleh pihaknya tidak akan dibuat menerusi panggilan telefon dan mana-mana suspek dalam kes penipuan akan dipanggil ke pejabat untuk tujuan soal siasat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28