Pengamal media perlu pelihara etika, berintegriti - Timbalan PM

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengamal media diingatkan untuk terus memelihara etika serta berintegriti dalam melaksana tugas menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tema sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 iaitu 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' harus menjadi kayu pengukur serta peringatan dalam memastikan maklumat disampaikan sahih dan bermanfaat selain pengamal media perlu bertanggungjawab terhadap berita dikongsi, bukan sekadar 'click-bait' semata-mata.

Beliau berkata, pengamal media merupakan wira dan wirawati tidak didendang yang memainkan peranan besar dalam proses membina negara terutamanya bagi membantu menyebarkan dasar, inisiatif dan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

"Pada era digital ini, dengan segalanya dapat diakses di hujung jari sahaja, saya amat mengerti cabaran bagi rakan-rakan wartawan dan pengamal media.

"Namun saya percaya anda semua mampu mendepani apa jua cabaran mendatang, sekali gus memastikan industri media di negara ini tetap kekal relevan dan menjadi pilihan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendoakan setiap wartawan dan pengamal media untuk terus cekal dan tabah serta sentiasa berpegang teguh kepada etika dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah diberikan.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO mewakili kepimpinan parti dari seluruh negara juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wartawan Nasional.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1939 sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!