Gesa Zuraida jawab tanpa prasangka: Saifuddin Nasution

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dinasihatkan memberi tumpuan untuk menjawab tuduhan yang diterima daripada lembaga disiplin parti tanpa sebarang prasangka.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mencadangkan supaya Zuraida tidak membabitkan pihak lain dalam penjelasannya.

"Semolek-moleknya beliau tak payah ada sebarang prasangka lain seperti yang disebut. Tak perlu kata ada pengaruh sana, pengaruh sini.

"Langkah yang paling wajar adalah bila nanti ditetapkan masanya oleh jawatankuasa disiplin, beliau tampil untuk memberi penjelasan. Itu lebih baik," kata Saifuddin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian kepada media selepas melancarkan Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu dan lawatan sempena pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2020 di NSK Trade City di sini hari ini.

Zuraida diberi surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin parti pada 15 Januari lalu atas pertuduhan salah laku disiplin dan diberi tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan jawapan.

Ketika ditanya mengenai individu lain termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sama ada turut diberikan surat tunjuk sebab yang sama, Saifuddin memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut.

"Apa yang saya sebut kepada media dua hari lepas adalah seperti yang dilaporkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kassim kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Artikel Berkaitan:

"Pada akhir mesyuarat dan sebagai setiausaha agung, saya diminta menyampaikan kepada media beberapa perkara yang telah dibentangkan.

"Selain daripada itu, tak ada. Itu setakat yang kita diberitahu ketika mesyuarat kecuali satu dua kes penggantungan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa yang saya katakan adalah benar, kata Zuraida

Sehubungan itu beliau menasihati Zuraida agar memberi tumpuan penuh bagi menjawab pertuduhan tersebut.

Menurutnya, jika penjelasan dikemukakan Zuraida adalah munasabah atau sebaliknya akan dinilai oleh jawatankuasa disiplin.

"Jawatankuasa disiplin kemudiannya akan mengangkat syor kepada MPP. Itu prosesnya. MPP kemudian akan memuktamadkan apakah keputusannya," katanya.

"Langkah yang paling wajar adalah bila nanti ditetapkan masanya oleh jawatankuasa disiplin, beliau tampil untuk memberi penjelasan. Itu lebih baik," kata Saifuddin.

Semalam, Zuraida mengesahkan menerima surat tunjuk sebab itu dan akan mengemukakan jawapan dalam tempoh yang ditetapkan.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau bersedia berdepan dengan lembaga disiplin parti namun berharap tiada campur tangan daripada ketua parti.

"Situasi itu (tanpa dipengaruhi ketua parti), saya pasti mereka (lembaga disiplin) akan memberi perbicaraan yang adil kepada saya," katanya.