17 hafiz 30 juzuk al-Quran peroleh 12A SPM

Sebahagian daripada 85 calon SPM 2023 di SM Imtiaz Kuala Terengganu diraikan ibu bapa dalam satu majlis diadakan di Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam, di Kuala Terengganu pada Isnin.
Sebahagian daripada 85 calon SPM 2023 di SM Imtiaz Kuala Terengganu diraikan ibu bapa dalam satu majlis diadakan di Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam, di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 17 hafiz al-Quran dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu mencipta sejarah apabila memperoleh 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diumumkan pada Isnin.

Selain itu, seramai 11 pelajar mendapat 11A, 15 (10A) dan 17 lagi mendapat 9A daripada keseluruhan 85 calon yang menduduki peperiksaan di sekolah itu pada tahun lalu.

Calon cemerlang yang memperoleh 12A+, Amir Hariz Amir Mohd Hafiz, 18, berkata, usaha dan pengorbanan dalam menelaah pelajaran serta mengajar kepada rakan membuahkan hasil.

Amir Hariz (dua dari kanan) bersama ibu, Yanti Erana Jalil; bapa, Amir Mohd Hafiz Amir Khalid dan nenek, P Arpah Othman ketika ditemui di Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam, Kuala Terengganu.
Amir Hariz (dua dari kanan) bersama ibu, Yanti Erana Jalil; bapa, Amir Mohd Hafiz Amir Khalid dan nenek, P Arpah Othman ketika ditemui di Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam, Kuala Terengganu.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan menerima keputusan cemerlang itu kerana hanya memperoleh 5A+ dan 7A dalam peperiksaan percubaan SPM tahun lalu.

"Usaha dengan bimbingan guru-guru yang sentiasa mengadakan kelas tambahan setiap hari termasuk hari cuti pada hujung minggu akhirnya membuahkan hasil.

"Untuk mengecapi kejayaan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kami pernah tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran," ujarnya ketika ditemui di pekarangan Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam, di sini pada Isnin.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, amalan membaca al-Quran pada setiap hari menjadi pendorong utama kejayaan yang dikecapi bersama rakan-rakan yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat berterima kasih dan bersyukur kerana ibu bapa juga berusaha memastikan kejayaan anak-anak dengan mengadakan bacaan Yassin bersama-sama pada setiap pagi melalui Google Meet demi mendoakan kejayaan kami dalam SPM kali ini," katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang yang mendapat 12A, Nik Abdul Aziz Nik Mohd Anuar, 18 berkata, kecemerlangan yang diraih itu hasil usaha gigih guru yang membantu dan mendorong pelajar untuk berjaya.

"Rutin harian kami sangat padat bermula pukul 5 pagi untuk menghafaz al-Quran diikuti kelas akademik, kelas tambahan dan aktiviti keagamaan di surau hingga 11 atau 12 tengah malam.

"Kami bersyukur sebab penat lelah pelajar, guru-guru dan ibu bapa berbaloi hari ini dengan kejayaan yang dikecapi selaras matlamat sekolah mahu melahirkan tenaga kerja profesional yang hafiz al Quran," katanya.

Seramai 464 atau 2.83 peratus daripada 16,382 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 di Terengganu berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Seramai lapan calon daripada enam buah sekolah termasuk seorang calon dari sebuah sekolah menengah harian berjaya mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran di duduki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!